Beli Pfizer Selepas Terima Lampu Hijau FDA AS - Khairy

Health & Fitness
29 Oct 2021 • 10:20 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Malaysia akan membuat pembelian vaksin Pfizer untuk diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun selepas memperoleh lampu hijau daripada panel Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS).

Mengumumkan perkara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, selain Pfizer, pihaknya turut meneliti beberapa pilihan lagi termasuk vaksin Sinovac yang berada di pasaran.

Katanya, keputusan itu diambil selepas panel FDA AS mengesyorkan penggunaan Pfizer terhadap kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.

“Menerusi keputusan panel FDA yang mengesyorkan suntikan Pfizer bagi individu berusia lima hingga 12 tahun, Malaysia akan teruskan usaha perolehan Pfizer untuk kanak-kanak.

“Kita juga akan meneliti pilihan bekalan lain seperti Sinovac,” ciapnya di laman sosial Twitter, hari ini.

Awal minggu ini, panel FDA mengesyorkan vaksin Pfizer untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun, selepas mendapati manfaat suntikan pelalian itu melebihi risiko.

Menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja, Malaysia merintis usaha pemberian suntikan vaksin kepada golongan terbabit yang berusia antara 12 hingga 17 tahun pada 20 September lalu.

Dalam perkembangan lain, Khairy menyatakan keyakinan terhadap keputusan pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka, selepas liputan pemberian vaksin dalam kalangan remaja di negara ini semakin meluas.

“Sebanyak 82.4 peratus daripada remaja di negara ini menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos, manakala 62 peratus mendapat dos lengkap.

“Ini bermakna #PembukaanSemulaSekolah secara selamat,” katanya. – Getaran, 29 Oktober 2021