
SHAH ALAM, 20 OKT: Sejumlah RM150,000 diperuntuk bagi agihan tablet kepada 57 penghulu mukim negeri ini, kata EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi.
Borhan Aman Shah berkata pemberian tablet kepada penghulu mukim itu diyakini dapat memberi manfaat dan membantu memudahkan urusan harian.

“Alhamdulillah usaha sejak awal tahun dan terima kasih kepada MBI. Dalam keadaan pandemik semua memerlukan tablet dan komputer riba kerana sering melakukan mesyuarat secara hibrid.
“Selain mesyuarat, penghulu juga dapat memasukkan data-data, program Kerajaan Negeri serta menyimpan pelbagai laporan,” katanya ditemui pada Majlis Penyampaian Tablet kepada Penghulu di Foyer Bangunan SUK di sini hari ini.
Tambah Borhan pihaknya berharap penghulu dapat memanfaatkan penggunaan tablet dengan sebaiknya untuk menyampaikan program dan dasar Kerajaan Negeri.
Terdahulu, seramai 57 penghulu mukim di Selangor menerima tablet dan kad sim percuma sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Sumbangan itu disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek.
The post Peruntuk RM150,000 agih tablet kepada penghulu, mudah urusan kerja appeared first on Selangorkini.
