Suntik Picagari Kosong, Petugas Diberhenti Dari Jalankan Tugas Di PPV

2 Oct 2021 • 9:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Noor Azmi Ghazali - Gambar fail

KUALA LUMPUR -  Seorang petugas kesihatan (penyuntik) yang tersalah mengambil satu picagari kosong ketika proses vaksinasi ke atas seorang remaja berusia 12 tahun yang videonya tular baru-baru ini, telah diberhentikan daripada menjalankan tugas memberi vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM) dengan serta merta.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan memandang serius insiden seperti itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan proses vaksinasi dilakukan dengan selamat dan sempurna.

''Keselamatan dan kesejahteraan penerima vaksin adalah menjadi keutamaan kami dan semua pengamal perubatan akan terus dipantau untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),'' katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu  Dr Noor Azmi Ghazali berkata siasatan awal oleh ProtectHealth sebelum ini mendapati kejadian tersebut berlaku di PPV pada 30 September lepas.

"Dalam kejadian pukul 3.16 petang itu, petugas kesihatan tersebut telah tersalah ambil satu picagari kosong yang masih belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin.

"Petugas kesihatan telah mengikut prosedur yang ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos yang sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan," katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A).

Jelasnya, setelah menunjukkan picagari berisi vaksin, petugas kesihatan berkenaan telah meletakkan sebentar picagari tersebut di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan.

"Bagaimanapun, beliau tersalah ambil picagari yang kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja tersebut. Setelah selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapan beliau dan memaklumkan kepada Pegawai Perubatan yang bertugas di PPV UM.

"Kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja tersebut. Setelah memahami penjelasan yang diberikan, ibu bapa remaja berkenaan telah memberi kebenaran untuk remaja tersebut diberikan suntikan vaksin di lengan yang berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang," katanya.

Video mengenai kejadian itu telah tular di media sosial.