Dos Penggalak Diberi Ikut MySejahtera - Khairy

Health & Fitness
29 Oct 2021 • 12:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar fail

KUALA LUMPUR - Individu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin tidak perlu memohon untuk mendapatkan dos penggalak sebaliknya akan mendapat janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dos penggalak membabitkan penggunaan kaedah heterologi kini sudah bermula di bawah Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK).

Katanya, kerajaan melaksanakan kaedah vaksin campuran sebagai dos penggalak itu selepas disyorkan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Dr Kalaiarasu M Periasamy.

“Sebagai contoh, penerima vaksin Pfizer, anda akan disyorkan untuk menerima dos penggalak jenis Pfizer enam bulan selepas dos kedua manakala penerima Sinovac pula, disyorkan untuk mendapatkan pelalian Pfizer tiga bulan selepas dos kedua.

“Pelaksanaan kini dijalankan terhadap petugas barisan hadapan dan golongan warga emas,” ciapnya di laman Twitter.

Khairy berkata, pihaknya akan mengumumkan butiran lanjut kepada penerima vaksin AstraZeneca berkaitan pilihan dos penggalak.

Menurutnya lagi, individu dengan alergik yang tidak boleh menerima vaksin mRNA akan ditawarkan pelalian lain seperti Sinovac atau AstraZeneca sebagai dos penggalak.

Menjawab persoalan status vaksinasi terhadap pemberian dos penggalak, Khairy berkata, seseorang individu dikira sudah lengkap divaksin selepas menerima dos kedua.

“Dos penggalak tidak diwajibkan diambil untuk mengesahkan seseorang individu itu lengkap divaksin namun ia sangat disyorkan,” katanya. - Getaran, 29 Oktober 2021