Panik Langgar Kenderaan, Imam Terempuh Sahabat Sendiri

12 Nov 2021 • 6:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang warga emas maut selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh imam pertama di sebuah surau di Taman Bukit Kajang, Kajang. - Gambar dari Facebook Traffic Info Crew

SHAH ALAM - Imam kedua sebuah surau di Taman Bukit Kajang, di sini maut manakala seorang lagi jemaah cedera dilanggar kereta yang dipandu imam pertama surau berkenaan awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, lelaki berusia 76 tahun itu sedang mengundurkan Perodua Myvi miliknya, dan panik apabila terlanggar bahagian belakang sebuah kenderaan lain.

Menurut beliau, insiden tersebut berlaku pada jam 6.30 pagi ketika kedua-dua mangsa berada di perkarangan surau, selepas selesai menunaikan solat Subuh.

"Warga emas itu ketika dalam keadaan panik tertekan pedal minyak, menyebabkan ia bergerak ke depan sehingga hilang kawalan dan melanggar Hatim Arshad, 78, serta seorang lagi jemaah," katanya.

Hatim yang cedera parah jelas Azman, maut di tempat kejadian, manakala jemaah yang cedera itu patah lutut kanan dan pergelangan kaki kiri.

"Dia dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap orang ramai sentiasa peka dan berhati-hati ketika memandu.

"Bagi pemandu berusia, mungkin ada keperluan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan demi memastikan kesesuaian untuk memandu," katanya. - Getaran, 12 November 2021.