Kereta dipercayai milik pegawai kastam terbakar

18 Nov 2021 • 8:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KLANG - Sebuah kereta dipercayai milik seorang pegawai kastam terbakar dalam kejadian di sebuah pusat mencuci kereta di Taman Pandamaran Permai pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kereta milik mangsa berumur 50-an itu dilempar cat ketika berada di sebuah lampu isyarat.

"Mangsa kemudiannya membawa kereta untuk dicuci dan tiba-tiba kereta itu terbakar," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk kemungkinan berkaitan unsur khianat.

image is not available

"Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis, menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.03 pagi.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 11.13 pagi.

"Kejadian melibatkan sebuah kereta Proton X70 di sebuah pusat mencuci kereta yang mengalami kebakaran sebanyak 90 peratus tiga peratus pada bahagian bumbung kedai," katanya.