PRU15 wajar diadakan tahun hadapan atau 2023: Shahidan

Politics
29 Nov 2021 • 1:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sewajarnya dilakukan pada tahun 2022 atau 2023.

Menurutnya, ia adalah langkah wajar bagi membolehkan kerajaan memberikan fokus khusus kepada rakyat.

“Pada pandangan saya, Bajet 2022 baru sahaja lulus. Saya ingat wajar untuk kita menikmati dahulu bajet ini kerana ia memberi perhatian khusus kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang terkesan akibat Covid-19.

“Jadi bagi peluang untuk kerajaan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya pada sidang akhbar Majlis Topping Off Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3 pada Isnin.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, ia secara tidak langsung memberikan peluang kepada pengundi berumur 18 turut serta dalam PRU15.

“Tidak ada keperluan untuk membuat PRU15 serta-merta. Ini pandangan dan tidak perlu dikritik,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut berpendapat untuk meletakkan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat terlebih dahulu sebelum mengadakan PRU15.

Menurutnya, ini masa terbaik untuk pihak kerajaan dan pimpinan parti bagi memastikan pembelaan rakyat dapat diteruskan terutama berkaitan keselamatan dan kesihatan dari wabak Covid-19.

“Apabila semua selesai, saya yakin Perdana Menteri akan mempunyai beberapa justifikasi penting bagi membubarkan Parlimen,” katanya.