
SHAH ALAM, 5 NOV: Selangor meluluskan dana RM2.8 juta melalui Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu peniaga beralih dari konsep fizikal ke digital.
EXCO Industri Kecil dan Sederhana Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif berkenaan memanfaatkan 650 penerima termasuk peniaga kecil untuk menaik taraf operasi mereka sesuai peredaran masa.
“Baki RM2.2 juta boleh dimohon pada fasa ketiga yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat,” katanya di sini, semalam.
Geran tersebut dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 April lalu untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.
Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi manfaat 1,000 peniaga kecil dengan jumlah bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000.
Lima bidang pendigitalan yang ditawarkan ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (e-PoS) dan gerbang pembayaran.
Berikut syarat-syarat kelayakan PKS:
– Berdaftar bawah undang-undang berkaitan di Malaysia
– Syarikat sekurang-kurangnya 51 peratus dimiliki rakyat Malaysia
– PKS yang mempunyai alamat berdaftar di Selangor atau beroperasi di Selangor sahaja
– Beroperasi sekurang-kurangnya setahun
– Mempunyai perolehan jualan tahunan sekurang-kurangnya RM300,000 dan tidak melebihi RM1 juta
– Terhad kepada satu permohonan bagi setiap PKS dan mereka dibenar memohon untuk tiga perkhidmatan digital dengan satu atau lebih pembekal perkhidmatan yang disahkan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec)
The post Lulus RM2.8 juta bantu 650 peniaga PKS beralih kepada digital appeared first on Selangorkini.

