2 Wanita Maut, 3 Parah Kereta Rempuh Penghadang Konkrit

15 Nov 2021 • 8:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Keadaan kereta Perodua Alza yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Segaliud Seberang, Kinabatangan, hari ini.

KINABATANGAN - Dua wanita maut manakala tiga lelaki parah apabila kereta yang dinaiki terlibat kemalangan di Jalan Kampung Segaliud Seberang, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Perodua Alza yang dinaiki kesemua mangsa dikatakan terbabas sebelum merempuh konkrit di tepi jalan.

Kedua-dua mangsa yang maut berumur 40 dan 14 tahun, manakala tiga lagi berusia  antara 15 hingga 33 tahun.

image is not available
Anggota Bomba mengusung mayat mangsa kemalangan di Jalan Kampung Segaliud Seberang, Kinabatangan, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.02 pagi dan menugaskan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, anggota mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan dan semua mangsa masih berada di dalam Perodua Alza itu.

"Anggota kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dan dua daripada mereka disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.

Menurut beliau, kesemua mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan.

"Kedua-dua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 9.22 pagi," katanya. - Getaran, 15 November 2021