
Pernah terfikir atau tidak semasa membeli-belah barang dapur dan keperluan harian, ada kemungkinan kita terbayar lebih daripada harga yang sepatutnya?
“Bukankah juruwang dekat pasar raya menggunakan alat pengimbas? Bagaimana pula kita boleh terlebih bayar?”
Benar. Juruwang memang akan mengimbas harga barang mengikut kod bar yang tertera pada item-item yang kita beli. Tetapi, betulkah harga pada item tersebut? Itukah harga yang kita ‘setuju’ untuk bayar?
Sebenarnya perkara ini kerap berlaku tanpa kita sedar. Lebih-lebih lagi jika kita pergi membeli-belah di pasar raya besar. Jadi, untuk mengelakkan berlakunya situasi terlebih bayar atau terlebih belanja daripada yang sepatutnya, jangan lupa untuk lakukan tiga perkara ini:
1. Baca butiran label harga pada barang-barang yang ditimbang.

Cuba bayangkan situasi ini. Kita mahu membeli ikan bilis. Terdapat empat hingga lima pilihan ikan bilis dengan julat harga yang berlainan. Kita pilih ikan bilis yang harganya di pertengahan. Tidak terlalu murah atau mahal. Kemudian, kita timbang ikan bilis yang kita ambil dan cetakan label harga (berserta kod bar) akan dilekatkan pada plastik.
Pada peringkat ini, kita hanya mahu pastikan semua barang (seperti sayur, buah, ikan, bawang dan kentang) yang perlu ditimbang, kita timbang bagi mendapatkan pelekat label harga. Tanpa label harga, barang-barang tersebut tidak dapat melepasi kaunter juruwang.
Tetapi, adakah kita terlintas untuk menyemak butir-butir label harga yang ditampal pada setiap barang tadi sebelum bergegas ke kaunter pembayaran?
Di sini kesilapan selalu berlaku. Pekerja yang menimbang barang berkemungkinan besar terkeliru dengan harga. Bukan semua situasi ya. Tetapi, tidak mustahil. Mereka pun manusia.
Bayangkan kalau ikan bilis ada empat lima pilihan, mangga, oren, dan epal ada beberapa jenis (semuanya nampak seakan-akan sama), mereka mungkin boleh tersalah dan menekan kod harga berbeza. Silap-silap, ikan bilis kita ditimbang dengan harga paling mahal! Kita sambut tanpa ragu dan bayar harga yang tertera. Sedangkan ikan bilis tadi harga sebenarnya jauh lebih murah. Di sinilah tanpa sedar kita telah terlebih bayar.
Oleh itu, rajin-rajinlah periksa semula butiran seperti harga item per kilo atau per unit pada pelekat label harga barangan yang telah anda timbang.
2. Bandingkan harga barang yang dijual secara berasingan dengan pek kombo atau pek promosi.

Ini buat anda yang gemar membeli pek kombo, pek pukal atau produk bersaiz lebih besar dengan tanggapan barang-barang berkenaan lebih murah berbanding unit yang lebih kecil. Adakah anda benar-benar pasti?
Saya beri contoh mudah – susu pekat di dalam tin. Harga setin sekitar RM3. Kemudian, di rak jualan yang sama, kita tertarik dengan pek pembungkusan pukal, 6 tin susu pekat untuk RM19.20. “Eh, beli banyak teruslah! Lagi untung!” Kita ambil tanpa buat pengiraan harga sebenar satu unit tin berapa ringgit.
Hati-hati. Jangan terus buat kesimpulan beli banyak lebih murah. Periksa dahulu.
Pembelian kita hanya akan dianggap berbaloi apabila harga seunit susu tin di dalam pek 6 berkenaan lebih murah daripada harga setin biasa, bukan sebaliknya. Dalam senario di atas, harga satu tin susu ialah RM3.20. RM0.20 lebih mahal daripada satu unit susu yang dijual secara berasingan. Rugi, bukan?
3. Semak resit pembelian.
Pasar raya besar kebiasaannya membuat promosi jualan dari semasa ke semasa. Banyak semakan harga, diskaun dan tawaran istimewa yang dibuat saban minggu. Jadi, pertukaran dan ketidakseragaman harga sering berlaku.
Contohnya, kita hendak beli susu UHT. Harga sekotak susu UHT (1 liter) ialah RM5.80. Kebetulan ada promosi istimewa – beli 4 kotak dengan harga RM18. Satu tawaran baik! Tambahan pula, susu memang keperluan mingguan kita. Apa salahnya beli banyak minggu ini, minggu depan tidak perlu beli lagi. Kita pun pergi bayar di kaunter bersama barang-barang lain yang kita beli.
Rupa-rupanya berlaku ketidakseragaman harga yang dipaparkan di rak jualan dengan harga dalam sistem. Harga dalam sistem masih belum dikemas kini dengan harga promosi atau harga terkini. Maka, tanpa kita sedar kita telah bayar empat kotak susu tersebut dengan harga asal (RM5.80 x 4) dan pulang berhati girang kononnya sudah berjaya menjadi pembeli bijak yang dapat tawaran harga terbaik untuk susu.

Maka, jangan lupa untuk tajamkan mata melihat paparan skrin di kaunter juruwang ketika barang diimbas. Apa-apa senang hendak tuntut. Tidak pun, setelah selesai semua, semak kembali resit pembelian. Jika terdapat sebarang percanggahan, bolehlah ke kaunter khidmat pelanggan untuk minta pemulangan.
Memang nampak agak remeh. Tetapi sebagai pengguna, kita perlulah bijak. Bayar apa yang kita beli pada harga yang betul. Andai perbezaan harganya sedikit mungkin kita boleh pejam mata begitu sahaja. Namun, kalau perbezaan harganya besar, pasti lari peruntukan perbelanjaan bulanan. Kita juga yang kerut dahi merungut barang-barang makin mahal.
Selamat bijak berbelanja!
Farrah Fahmy adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.