Program pembangunan dron, kejuruteraan penerbangan diperkenal di Unisel

26 Nov 2021 • 8:43 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 26 NOV: Program kepintaran buatan dan pembangunan dron selain program ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan penerbangan akan diperkenal di Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri memberi nafas baharu kepada sektor itu dengan menubuhkan Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn. Bhd. (Selati), Pusat Kecemerlangan Selati-Unisel dan Sekolah Penerbangan Selati-Unisel selain mewujudkan rangka kerja kemahiran dan kerjaya Selangor bagi industri aeroangkasa.

“Usaha-usaha ini akan mewujudkan peluang pelaburan baru bagi syarikat pembekal aeroangkasa, kepintaran buatan (AI) dan pembangunan dron bertempat di Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya.

“Tawaran kursus latihan jangka pendek dan program ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan penerbangan serta pembangunan modal insan berkemahiran dan pasaran buruh untuk menyokong industri aeroangkasa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata bagi menyokong pertumbuhan sektor aeroangkasa penganjuran Pameran Penerbangan Selangor (SAS) yang julung kali dianjurkan tahun ini juga akan diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM5 juta.

Menurutnya, acara yang menghimpunkan pemain aeroangkasa dan penerbangan terbaik di dunia itu diharap dapat mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan berpotensi di peringkat domestik dan antarabangsa.