Dodol kopi antara tarikan pengunjung ekspo makanan Selangor

23 Nov 2021 • 9:15 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Makanan tradisi Melayu, dodol atau penganan berperasa kopi antara tarikan di Ekspo Selangor Antarabangsa (SIE) makanan dan minuman (F&B) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pengarah Pemasaran Miss Dodol Amirah Adlyna Amir Zamiri berkata dodol kopi antara kelainan yang ditonjolkan syarikatnya bagi mempromosikan makanan tradisi itu ke pasaran antarabangsa.

“Selain perasa kopi, kita juga mempunyai dua jenis dodol iaitu asli dan durian. Bagi kopi dan durian, kandungan perasanya tidak terlalu kuat bagi mengekalkan rasa keaslian makanan tradisi ini.

“Inisiatif Kerajaan Negeri dalam menganjurkan ekspo seperti ini harus dipuji kerana ia membantu usahawan tempatan memperkenalkan produk keluaran sama ada dalam Malaysia mahu pun antarabangsa,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, penglibatan dalam ekspo ini diharap dapat mengembangkan perniagaan dodol yang berada di pasaran sejak Februari tahun ini.

“Setakat ini, produk kita memasuki Arab Saudi dan berharap penyertaan dalam ekspo ini dapat menarik rakan niaga lain seperti dari China,” katanya.

SIE (F&B) 2021 sebahagian program Sidang Kemuncak Perniagaan (SIBS) 2021 selama empat hari bermula 18 November yang berlangsung secara hibrid.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.

View Original Article