3 Maut, Kemalangan Motosikal Di Port Dickson

2 Nov 2021 • 7:37 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
3 orang termasuk 2 warga Pakistan maut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 4, Jalan Chuah- Bukit Pelandok, Port Dickson, malam tadi. - Gambar ihsan polis

SEREMBAN - Tiga termasuk dua warga Pakistan maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 4, Jalan Chuah- Bukit Pelandok, Port Dickson dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, motosikal ditunggang seorang pekerja kontrak warga tempatan P. Daneshwaran, 22, dipercayai bertembung dengan motosikal dinaiki dua lelaki warga Pakistan iaitu Usman Muhammad, 34, dan Hassan Ahmad, 29.

Aidi Sham berkata siasatan awal mendapati motosikal Honda Wave milik Daneswaran yang sedang dari arah Lukut menghala ke Bukit Pelandok dikatakan telah bertembung motosikal Modenas Kriss yang ditunggang Usman, juga seorang pekerja kontrak, dari arah bertentangan.

“Susulan pertembungan itu, ketiga-tiga mangsa dipercayai terpelanting di atas jalan raya dalam kejadian hujan lebat.

“Akibat kemalangan berkenaan, kesemua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan Usman disahkan maut di lokasi kejadian manakala Daneshwaran dan Hassan meninggal dunia di Hospital Port Dickson ketika mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Aidi Sham berkata siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama