
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengaku tidak akan menolak sekiranya ditawarkan jawatan Perdana Menteri pada masa depan.
Beliau berkata, ia kerana jawatan itu membolehkannya berkhidmat di peringkat negara dan dapat menggunakan pengalaman yang dimilikinya selama 32 tahun dalam kerajaan dan politik.
"Saya tidak obsesi dan bernafsu tinggi untuk menjadi Perdana Menteri atau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
"Tetapi (pengalaman yang dimiliki) mungkin satu kualiti yang boleh ditawarkan dan mengapa tidak kita tawarkan diri dan ia terserah kepada rakyat di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Bersama Shafie Apdal yang dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Sepanjang perkhidmatannya, Mohd Shafie turut digelar 'menteri kampung' kerana menerajui beberapa kementerian yang dekat dengan rakyat.
Kementerian itu termasuklah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal dan Kementerian Penerangan.
Mohd Shafie berkata, pengalaman itu membolehkan beliau menyelami hati dan jiwa nurani rakyat.
Katanya, beliau juga dapat melihat kerangka pentadbiran yang dimahukan rakyat.

