5 Hal Yang Mungkin Anda Tidak Tahu Apabila Menonton Di Pawagam

21 Nov 2021 • 7:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar Fail

Sungguhpun kini terdapat pelbagai platform penstriman seperti Netflix, Mubi dan macam-macam lagi, masih ada yang lebih suka menonton filem di pawagam. Katanya lebih puas menonton di layar lebar.  

Bahkan ia menjadi satu hobi atau terapi bagi sesetengah individu apabila menonton di pawagam secara bersendirian atau bersama keluarga dan rakan. 

Hari ini kami berkongsi lima peraturan yang mungkin anda tidak tahu apabila menonton filem di pawagam. 

 

Vaping tidak dibenarkan
image is not available

Sudah pasti ramai yang mengetahui bahawa merokok di dalam premis pawagam dilarang sama sekali. Akan tetapi, ramai yang ambil mudah dan beranggapan menghisap vape dibenarkan di dalam premis pawagam kerana tidak mengeluarkan bau yang busuk. 

Vape adalah sejenis rokok elektrik yang mengeluarkan asap berperisa bagi menggantikan pengambilan rokok. Penggunaannya sedang meningkat naik dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Kesalahan menghisap vape adalah sama seperti merokok walaupun anda menghisapnya di dalam tandas pawagam. Tambahan pula, ia boleh mengaktifkan sistem penggera di dalam panggung gara-gara asap tebal yang dikeluarkan.

 

Kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah masuk percuma

image is not available

Kanak-kanak yang berusia dua tahun ke bawah tidak dikenakan bayaran tiket. Bayaran tiket hanya bagi kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun. 

Jadi ibu bapa atau penjaga boleh menjimatkan wang jika membawa anak berumur dua tahun ke bawah.

Tetapi harus diingatkan, kanak-kanak dan bayi tidak dibenarkan untuk masuk ke tayangan untuk filem dengan rating 18 tahun ke atas.

Jadi ibu bapa yang mahu menonton filem aksi atau seram sambil membawa anak kecil mungkin harus mencari babysitter atau penjaga buat sementara waktu.

 

Semua jenis haiwan peliharaan tidak dibenarkan masuk

image is not available

Kebiasaannya kita lihat peraturan ini mempamerkan logo larangan menggunakan imej kucing dan anjing yang merujuk kepada haiwan peliharaan. 

Akan tetapi, sebenarnya segala jenis haiwan peliharaan tidak dibenarkan masuk ke pawagam termasuk haiwan-haiwan kecil yang boleh disorok atau disimpan di dalam poket seperti hamster, kura-kura dan seumpamanya.

Ia bagi mengelakkan gangguan seperti bunyi haiwan semasa menonton wayang selain faktor kebersihan dan seumpamanya. 

 

Pakai pelitup muka dan harus divaksin lengkap dua dos

image is not available
Gambar Fail

Seperti kita tahu, pada era pendemik COVID-19 in semua pawagam telah melaksanakan SOP terbaharu untuk menonton wayang.

Semua penonton perlu diperiksa suhu badan  terlebih dahulu sebelum memasuki premis. Pengunjung wajib memakai pelitup muka dan hanya pelanggan yang lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan masuk. 

Tambahan pula, kapasiti bagi setiap panggung wayang juga dikurangkan 50 peratus bagi mempraktikkan penjarakan sosial.

 

Buang sisa makan dan minuman sendiri selepas menonton wayang

image is not available

Pasti tidak lekang makanan dan minuman seperti bertih jagung dan minuman ringan sebagai kudapan setiap kali menonton wayang.

Kebiasaannya selepas tamat wayang ditonton, ramai akan meninggalkan sisa makanan dan minuman di tempat duduk dan petugas diharap akan membersihkannya.

Kini, setiap individu akan diminta untuk membuang sampah makanan dan minuman ke dalam tong sampah yang disediakan di luar pawagam sebaik sahaja selesai menonton.

Ia adalah SOP terbaharu pawagam bagi mengelakkan sentuhan pada bekas makanan penonton yang boleh menyebabkan jangkitan COVID-19 semasa petugas membersihkan panggung. 

Maka, kepada semua individu anda perlulah mengikuti peraturan-peraturan panggung yang telah tercatat di semua premis panggung bagi mengelakkan sebarang masalah ketika berada di pawagam. Selamat menonton! - Getaran, 21 November 2021