Selangor setuju batal pajakan tanah Ladang Tennamaram

30 Nov 2021 • 4:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor bersetuju membatalkan pajakan tanah berjumlah 39.01 hektar di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya di sini yang diwartakan kepada dua syarikat dengan diberi gantian pajakan di kawasan lain bagi tujuan pertanian dan penternakan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia berikutan pertikaian terhadap pajakan tanah berkenaan pada April 2021 apabila kumpulan peneroka meminta campur tangan pihak Kerajaan Selangor berhubung pertindihan permohonan tanah yang mereka usahakan dengan dua buah syarikat yang diberi pajakan.

Menurutnya, sebuah Jawatankuasa Siasatan Dalaman (JKSD) ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap isu ini pada Mei lalu.

Amirudin berkata, pihaknya turut mengarahkan Setiausaha Politik, Juwairiya Zulkifli untuk mengadakan perbincangan antara pihak syarikat, para peneroka dengan kehadiran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada Ogos.

"Hal ini dibawa ke Majlis Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang bersidang pada 10 November 2021 dan hasil perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 17 November 2021 menetapkan bahawa pajakan tanah tersebut dibatalkan.

"Tanah tersebut akan dipajakkan kepada pihak PKPS selama 21 tahun dan PKPS perlu membuat pemutihan terhadap hampir 400 orang peneroka yang memohon," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, perkara tersebut juga dapat menyelesaikan isu peneroka haram di tanah PKPS sejumlah 322.03 hektar di kawasan yang sama, menjadikan jumlah keseluruhan pertikaian tanah antara peneroka yang berjaya diselesaikan di Ladang Tennamaran adalah 361.04 hekkar.

Amirudin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan memberikan kerjasama dalam usaha kerajaan Selangor mencari jalan tengah untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.

"Ini satu lagi bukti komitmen kerajaan Selangor yang akan sentiasa mencari formula terbaik demi mencari penyelesaian menang-menang dalam memenuhi kepentingan semua pihak," katanya.