Langgar Syarat Lesen Tangkap Ikan, 2 Bot Nelayan Tempatan Ditahan

4 Nov 2021 • 1:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dua bot nelayan tempatan bersama kru ditahan Maritim Malaysia kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan di Miri pagi semalam.

MIRI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan dua bot nelayan tempatan pada jarak lebih kurang enam batu nautika dari barat laut Tanjung Baram, di sini, kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan, pagi semalam. 

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohamad Fauzi Othman berkata, bot Kilat 41 yang sedang menjalankan rondaan Op Permai di sekitar perairan Miri mengesan dua bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan pada jam 6.15 pagi.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan dan geledah mendapati, kedua-dua bot tersebut dikendalikan dua tekong lelaki warga tempatan dan enam kru lelaki warga Indonesia berusia  lingkungan 21 hingga 65 tahun.

image is not available
Salah satu dari bot yang ditahan.

“Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya kepada Getaran hari ini.

Mohamad Fauzi bagaimanapun berkata, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen, iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Kedua-dua bot nelayan berkenaan bersama lapan kru, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis yang dianggarkan sebanyak 1.5 tan metrik diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Pulau Melayu untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” tegasnya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam jika mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti atau kegiatan maritim mencurigakan. - Getaran, 4 November 2021