Isu Plagiat Dalam Dunia Kesusasteraan Harus Dihentikan

18 Nov 2021 • 8:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar Hiasan, Pexels

Isu plagiat yang berlaku dalam dunia kesusasteraan Melayu semakin lama semakin menjadi parah. Apatah lagi, jika ia dilakukan dalam kalangan penggiat sastera sendiri. 

Atas sebab itu, Bilik Penyair dan GERAK Malaysia yang terdiri daripada komuniti penulis-penulis muda mendesak pihak berwajib untuk mengekang jenayah ciplak harta intelektual yang melibatkan karya-karya bersifat kesusasteraan. 

Pada waktu yang sama, mereka turut mengecam tindakan Mohamad Asri Mat Husin (Wacana Minda) yang didakwa telah menciplak karya penulis Indonesia (Setia Naka Andrian) dalam Dewan Sastera Bil. 12/2021. 

Bahkan Mohamad Asri yang juga Setiausaha Agung PENYAIR Malaysia dan penerima Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan 2020 turut didakwa menciplak tulisan beberapa pengkaji dan penulis lain.

Tulisan-tulisan ini telah diterbitkan dalam Pelita Bahasa serta beberapa laman berita dan akhbar.

Menerusi kenyataan akhbar yang keluarkan bersama, komuniti Bilik Penyair dan GERAK Malaysia memberitahu bahawa perbuatan menciplak merupakan kelakuan jijik yang tidak harus dibudayakan dalam kalangan penulis serta tidak harus dibiar lepas atau dimaafkan.

Mereka juga turut membuat tiga tuntutan iaitu meminta pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) supaya menyiarkan makluman ralat rasmi kepada khalayak pembaca dan permohonan maaf kepada pemilik karya asal, serta menyatakan butiran pesalah dan karya yang diciplaknya.

Tuntutan yang lain adalah meminta DBP menyekat serta-merta kiriman karya daripada penciplak tersebut supaya masalah besar ini tidak lagi berlaku pada masa hadapan serta menyeru para penggiat sastera daripada kalangan persatuan termasuk GAPENA, PENA, PENYAIR untuk bertegas mengeluarkan kenyataan dan menyedarkan masyarakat tentang kesalahan jenayah ciplak dan padahnya.

Tekad dengan pegangan bahawa jenayah ciplak wajib ditentang tanpa tolak ansur, usul dan tuntutan yang dikemukakan komuniti Bilik Penyair dan GERAK Malaysia ini turut mendapat sokongan daripada komuniti, pertubuhan dan persatuan sastera lain seperti Bangsa Buku, Jurnal Sang Pemula, FAGIYU, Maingayong, Kumpulan Sasterawan Kavyan, Buku Jalanan Seremban, Kedai Buku Jilid dan SIUMAN. 

Malah, hampir lebih 100 individu turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan dan tuntutan yang dikemukakan. Mereka termasuklah sasterawan Uthaya Sankar SB, penulis Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani), Dr Azhar Ibrahim (Universiti Kebangsaan Singapura), Noor Farhan Elyas (Demi Teratai Abadi) dan wartawan Fazallah Pit dan Al-Abror Mohd Yusuf. - Getaran, 18 November 2021