Perlu Pakai Penjejak Digital Jika Pulang Dari Arab Saudi - KP Kesihatan

25 Dec 2021 • 9:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Noor Hisham Abdullah - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Pengembara yang pulang dari Arab Saudi perlu memakai penjejak digital sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Protokol baharu itu dikuatkuasakan bermula Isnin depan, selepas kerajaan menyenaraikan Arab Saudi ke dalam senarai negara berisiko tinggi penularan wabak COVID-19 varian Omicron.

“30 daripada 62 kes varian Omicron yang disahkan di Malaysia adalah mereka yang pulang dari Arab Saudi. 

“Susulan itu, Arab Saudi ditambah ke dalam senarai berisiko tinggi, dengan pengembara dan mereka yang pulang dari negara itu perlu memakai penjejak digital apabila tiba di KLIA,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter.

Setakat ini, sembilan negara disenaraikan dalam Senarai Negara Berisiko Tinggi iaitu Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Norway, Perancis, Denmark, Kanada, Nigeria dan India.

Dengan penyenaraian itu, Arab Saudi muncul sebagai negara ke 10 dalam kumpulan berkenaan. - Getaran, 25 Disember 2021