KDEBWM bersihkan hampir 40 peratus sampah banjir di Taman Sri Muda

30 Dec 2021 • 4:54 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 30 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) telah mengangkut keluar kira-kira 35 hingga 40 peratus sampah dalam kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda setakat ini.

Pengarah urusannya berkata operasi dimulakan sejak 25 Disember dan pihaknya menjangkakan proses menyelesaikan baki sampah yang ada dapat dilakukan dalam tempoh seminggu.

“Petugas KDEBWM menggunakan 80 hingga 90 lori roro (roll on roll off) setiap hari dan yang lain antaranya 26 lori sewa, 18 ‘backhoe’ dan empat eskavator untuk mengeluarkan sampah meliputi hampir 10,000 rumah dan 200 kilang di sini.

“Taman Sri Muda melibatkan kawasan besar dan kita gunakan segala jentera yang ada termasuk dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan swasta. Penduduk diminta bersabar kerana operasi ini memakan sedikit masa,” kata Ramli Mohd Tahir ketika ditemu bual menerusi Facebook Media Selangor hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan memantau operasi dijalankan di daerah lain serta akan memindahkan petugas dan jentera di daerah yang telah selesai ke Taman Sri Muda.

“Kita juga hargai segala kerjasama daripada semua pihak dan mengalu-alukan pihak yang ingin terus membantu mempercepatkan operasi pembersihan ini,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.