Netflix Malaysia menang 2 anugerah tweet terbaik 2021

15 Dec 2021 • 7:37 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Twitter mengumumkan Anugerah #BestofTweets 2021 Malaysia untuk meraikan jenama-jenama yang telah berjaya mencipta kempen-kempen yang memberi impak yang hebat. Sebanyak 7 jenama tersenarai dalam anugerah ini. Mereka telah menggunakan pelbagai ciri istimewa Twitter, seperti kerjasama dengan individu berpengaruh di Twitter untuk melancarkan kempen yang unik dan menarik.

Selain itu, mereka juga memanfaatkan pelbagai kegunaan di Twitter untuk melancarkan kempen dan berhubung dengan khalayak ramai. Berikut merupakan senarai 8 kategori Anugerah #BestofTweets 2021 Malaysia:

1. Kempen Terbaik Memacu Perubahan Positif Dalam Masyarakat

Kempen yang dijalankan oleh syarikat telekomunikasi Malaysia, Axiata telah terpilih sebagai kempen yang memenangi anugerah Kempen Terbaik Memacu Perubahan Positif Dalam Masyarakat. Ia tampil dengan kempen #AdvancingToZero sekitar pertengahan tahun ini. Dalam video kempen berdurasi 2 minit 19 saat yang dimuat naik di Twitter itu, ia memperlihatkan ahli pekerja Axiata sedang dalam usaha untuk mencapai matlamat sifar bersih pelepasan karbon. Inisiatif ini bertujuan untuk memerangi peningkatan suhu bumi.

2. Suara Jenama Terbaik

Milo Malaysia telah terpilih sebagai pemenang anugerah Suara Jenama Terbaik melalui kempennya #TimeforMilo. Kempen itu diadakan untuk menandakan Hari Kemerdekaan Malaysia. Berdasarkan perkongsian video berdurasi 1 minit 15 saat dan poll di Twitter, mereka telah dapat menghasilkan perbualan dan penglibatan positif pengguna di platform itu.

3. Penggunaan Video Terbaik

McDonalds Malaysia telah menzahirkan semangat Ramadan melalui beberapa siri video yang mempamerkan watak budak lelaki bernama Syukur. Dalam video yang dikongsikan di Twitter, Syukur sedang dalam proses menghayati nilai kebaikan pada bulan Ramadan iaitu nilai kesabaran. Sesiapa sahaja yang menonton jalan cerita video Syukur ini, pasti boleh kaitkannya dengan pengalaman yang pernah dilalui, lebih-lebih lagi ketika bulan puasa. Video ini telah mengangkat McDonalds sebagai pemenang anugerah Penggunaan Video Terbaik di Twitter.

4. Kempen Terbaik untuk Pendatang Baru

Syarikat kosmetik AikenMY telah ketengahkan di Twitter rangkaian pensampelan produk penjagaan kulit anti-jerawat mereka, Aiken Tea Tree Oil. Mereka meminta pengguna Twitter untuk Tweet semula menggunakan poll yang disertakan untuk memenangi sampel produk itu. Kempen penyelesaian masalah kulit berjerawat ini sangat ringkas dan telah membuatkan ramai pengguna memberi maklum balas pada tweet Aiken. Ia juga membuatkan Aiken mendapat anugerah Kempen Terbaik untuk Pendatang Baru.

5. Pelancaran Terbaik di Twitter

Anugerah Pelancaran Terbaik di Twitter dimenangi oleh Netflix Malaysia. Mereka membuat pelancaran untuk rancangan Money Heist musim akhir. Di samping itu, mereka telah mendekati Yuna iaitu penyanyi popular Malaysia dan Orkestra Filharmonik Malaysia untuk mencipta semula lagu tema siri itu. Hasilnya, lagu itu sangat menarik untuk didengar berulang kali dan kelihatan ramai yang memberi maklumbalas kepada tweet pelancaran itu.

6. Jenama yang Paling Banyak di Tweet di Malaysia

Selain itu, Netflix Malaysia juga muncul sebagai tempat pertama Jenama yang Paling Banyak di Tweet di Malaysia 2021. Antara perbualan hangat yang dibincangkan adalah musim akhir Money Heist dan interpretasi lagu temanya yang dinyanyikan semula oleh Yuna.

image is not available

7. Hubungan Budaya Terbaik

Tenaga Nasional pula mendapat tempat bagi anugerah Hubungan Budaya Terbaik menerusi satu animasi pendek yang menyentuh perasaan, iaitu teaser kepada filem mereka yang bertajuk, 'Raikan Malaysia Kita'. Video itu memaparkan empat rakyat Malaysia berbilang kaum dengan kisah berbeza sewaktu pandemik.

8. #OnlyOnTwitter

Astro memenangi anugerah #OnlyOnTwitter selepas mereka menjana perbualan berkaitan sukan dan mendapat pemahaman mendalam tentang komuniti sukan di negara ini. Astro juga telah mencipta kempen pakej saluran sukan dengan tanda pagar Sokong Malaysia ( #SokongMalaysia) untuk menjana perbualan Tokyo 2020 dan mengumpulkan rakyat Malaysia untuk menyokong atlet negara semasa temasya itu.

Nampaknya, jenama-jenama besar ini telah tampil kreatif dalam Tweet mereka. Antara 7 tweet ini, mana satu tweet yang mendatangkan impak pada anda?