
KUALA LUMPUR - Kerajaan menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB) pada awal tahun, sebagai agensi yang akan membina dan melancarkan perkhidmatan teknologi generasi kelima (5G) di negara ini.
Bagaimanapun, monopoli projek itu menimbulkan ‘kekecohan’ dalam kalangan syarikat telekomunikasi dan penggiat industri.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa mengumumkan, kerajaan akan mempertimbangkan semula keputusannya menjadikan DNB sebagai pemborong tunggal 5G.
Disebalik keengganan syarikat telekomunikasi (telco) menerima liputan 5G menerusi Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN), pakar industri berpendapat pelaksanaan itu sebenarnya memberi manfaat kepada pengguna dari segi harga sekali gus mempercepatkan pelaksanaan teknologi canggih itu.
Arkitek teknologi, Steven Wong, yang memiliki latar belakang dalam bidang telekomunikasi berkata, kelewatan pelancaran liputan 5G merupakan isu utama yang menjejaskan capaian internet pengguna hari ini.
Katanya, keadaan itu antaranya disebabkan syarikat telekomunikasi ketika ini berdepan cabaran dalam menghasilkan ‘asas perniagaan yang baik’ untuk memacu operasi perkhidmatan tersebut.
"Bagi syarikat telekomunikasi, yang biasanya syarikat penyenaraian awam atau swasta, mereka perlu sentiasa menjaga kos.
“Jadi dari situ mereka boleh mencari pelaburan baru untuk terus menggerakkan perkhidmatan tersebut,” katanya kepada Getaran, hari ini.
Isu tersebut turut hangat dibahaskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, kerana ramai pihak berkepentingan menyebut soal ketelusan dan penetapan harga sebagai kebimbangan yang menyebabkan kelewatan dalam menawarkan rakyat Malaysia rangkaian berkelajuan pantas itu.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan harga perkhidmatan capaian internet 5G dijangka lebih murah berbanding kos penggunaan 4G ketika ini.
Katanya, DNB akan mengenakan caj kurang daripada 20 sen bagi setiap Gigabit(GB) untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi berbanding kos tambahan bagi setiap GB 4G yang dihasilkan syarikat telekomunikasi.
Berdasarkan akaun terbitan syarikat telekomunikasi, Purata Hasil Setiap Penggunaan (ARPU) pada masa ini adalah RM43 hingga RM47 sebulan, dengan penggunaan data bagi setiap pengguna antara 22GB hingga 25GB sebulan bagi liputan 4G.
Secara purata, pelanggan dikenakan caj kira-kira RM2 setiap GB, manakala kos syarikat telekomunikasi untuk menghasilkan kelajuan 4G adalah sekitar RM1.50 dan RM1.70.
Menurut Steven, keputusan kerajaan mewujudkan SWN bagi pelan pelaksanaan 5G dan menawarkan perkhidmatan borong kepada semua syarikat telekomunikasi merupakan kaedah utama untuk mempercepatkan pelancaran 5G, berbanding membina infrastruktur mereka sendiri.
"Sebahagian besar kos untuk syarikat telekomunikasi datang daripada pemelbagaian pelaburan rangkaian kerana pengembangan infrastruktur memerlukan kos tinggi.
"Tetapi dari sudut pandangan pengguna, saya fikir ia masuk akal. Dari segi kelajuan mendapatkan perkhidmatan, saya fikir ini adalah cara yang perlu dilakukan,” katanya.
Namun katanya, syarikat telekomunikasi beranggapan langkah itu akan melahirkan monopoli dan memberi kesan kepada perniagaan serta menghadkan akses kepada teknologi di masa hadapan.
Beliau merujuk kepada projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) negara, yang dilaksanakan dengan kaedah sama seperti model yang dicadangkan oleh DNB.
"Harga bermula sebagai kompetitif sebelum ia beransur-ansur menjadi tidak kompetitif.
"Ini bermakna untuk mengatakan bahawa kos purata untuk industri di tempat lain di sekitar rantau ini menurun, tetapi ia tidak berubah sehingga tahap tertentu di negara ini,” katanya.
Steven berkata, kemerosotan harga di Malaysia kekal sehingga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh mengarahkan pengendali projek HSBB mengurangkan kos penetapan harga jalur lebar kepada pengguna.
"Ini adalah kesan sampingan apabila satu pihak memonopoli rangkaian jalur lebar nasional.
"Dari sudut pandangan pengguna, jika kerajaan mempunyai dasar mempercepatkan pelancaran 5G, dan mempunyai dasar yang membenarkan syarikat kekal berdaya saing dengan kadar disemak dari semasa ke semasa, saya fikir itu adalah satu langkah yang baik,” katanya.
Sebaliknya, Steven berkata syarikat telekomunikasi akan mempunyai pandangan berbeza mengenainya kerana terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan tersebut.
"Pertama berkaitan tahap liputan. Kedua soal penetapan harga dan ketiga, jualan selepas jualan dan perkhidmatan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, jika syarikat telekomunikasi tidak mempunyai kawalan ke atas rangkaian 5G, mereka hanya boleh bersaing melalui penetapan harga.
"Dalam kes ini, syarikat telekomunikasi sangat berat hati (untuk berkongsi rangkaian tunggal) kerana satu-satunya ‘permainan’ yang boleh mereka lakukan ialah 'perang harga' dan persaingan melalui perkhidmatan pelanggan.
"Tetapi masalah dengan perkhidmatan pelanggan ialah ia sangat mahal. Hakikatnya pasaran telekomunikasi untuk pengguna adalah sangat sensitif terhadap harga,” katanya.
Selain itu Steven berkata, syarikat telekomunikasi enggan menandatangani kontrak dengan penyedia rangkaian tunggal itu kerana mereka akan terikat dengan perjanjian secara purata sehingga 10 tahun.
“Mereka (telco) berat hati kerana tiada ruang untuk bergerak kerana kos tetap.
"Model perniagaan harus menguntungkan mereka,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Melewar Holdings, James Beltran, turut senada dengan Steven mengenai isu tersebut.
Beltran bersetuju bahawa pemborongan data oleh satu entiti seperti DNB kepada semua syarikat telekomunikasi memberi manfaat untuk pengguna, berbanding membina infrastruktur rangkaian 5G secara berasingan.
"Secara teori dan di atas kertas adalah lebih masuk akal untuk menyatukan perbelanjaan modal infrastruktur berbanding setiap pengendali melaksanakannya secara berasingan.
"Kami, bagaimanapun, tidak akan dapat mengesahkannya, kerana unjuran oleh pengendali tentang jumlah yang akan mereka belanjakan kekal secara teori,” katanya.
Dalam pada itu, sumber industeri lain berpendapat, rangkaian yang dikendalikan kerajaan boleh memperoleh sehingga 30 peratus dalam penjimatan kos dari segi kecekapan spektrum.
"Memperuntukkan satu spektrum 5G bersebelahan, bukannya membina pelbagai infrastruktur untuk Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) adalah ibarat membina empat atau lima lebuh raya bertindih pada satu lorong yang meliputi lokasi geografi yang kecil.
"DNB telah diberi mandat untuk membina lebuh raya pelbagai lorong yang kukuh dengan liputan lebih baik di kawasan bandar dan luar bandar, bukan sahaja akan memenuhi keperluan MNO, tetapi lebih penting memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.
Harga perkhidmatan capaian internet 5G yang dijangka lebih murah berbanding kos penggunaan 4G ketika ini turut disambut baik orang ramai.
Rata-rata mereka turut mengharapkan perkhidmatan capaian internet lebih baik selepas ini.

Jurutera mekanikal, Ainal Syafeek Noorazmi, 37, berkata, selain harga yang jauh lebih murah, perkhidmatan liputan internet di negara ini juga perlu dinaiktaraf dengan segera.
“Sudah tentu semua orang mahukan perkhidmatan yang harganya murah, tapi harus diingat kelajuan dan kestabilan capaian internet amat penting ketika ini.
“Jadi sebelum liputan 5G diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat, liputan 4G perlu ditambahbaik kerana internet sudah menjadi satu keperluan dalam kehidupan norma baru hari ini,” katanya.
Juruukur bahan, Diana Yusof, 35, berkata, liputan 5G merupakan satu keperluan yang ditunggu-tunggu seluruh rakyat di negara ini.
“Jaringan internet yang stabil kini menjadi satu keperluan untuk menjamin semua aktiviti harian dapat diselesaikan tanpa sebarang masalah.
“Jadi harga liputan 5G harus bersifat mampu milik agar golongan kurang berkemampuan turut berpeluang menikmati teknologi canggih ini,” katanya. - Getaran, 9 Disember 2021


