Inisiatif industri aeroangkasa langkah tepat demi kesinambungan ekonomi negeri

15 Dec 2021 • 4:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 15 DIS: Tindakan Kerajaan Negeri mewujudkan pelbagai inisiatif dalam industri aeroangkasa adalah langkah bijak ke arah kesinambungan ekonomi negeri.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelaksanaan pelbagai program termasuk industri tersebut mampu menarik minat pelabur sekali gus membawa aspirasi negeri ini.

“Kita perlu menarik mereka untuk melabur dengan negara ini, membuka kilang dan akhirnya memberi peluang dengan mewujudkan proses pertukaran teknologi. Perkara ini penting dalam mengenal pasti bidang perniagaan yang wujud dalam industri ini.

“Apabila membentangkan berkaitan aeroangkasa ini menunjukkan Kerajaan Negeri bersedia dan penganjuran Pameran Udara Selangor (SAS) membantu membaiki kedudukan dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Table Talk secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV baru-baru ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan #Selangor2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan memperkenalkan program kepintaran buatan dan pembangunan dron serta ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan penerbangan di Universiti Selangor (Unisel).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan memberi nafas baharu dengan menubuhkan Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn. Bhd. (Selati), Pusat Kecemerlangan Selati Unisel dan Sekolah Penerbangan Selati-Unisel selain mewujudkan rangka kerja kemahiran serta kerjaya Selangor bagi industri aeroangkasa.

Beliau berkata usaha itu bakal mewujudkan peluang pelaburan baharu bagi syarikat pembekal aeroangkasa, kepintaran buatan (AI) dan pembangunan dron di Unisel, Bestari Jaya.

Selain itu, penganjuran SAS yang julung kali dianjurkan tahun ini juga akan diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM5 juta selain menghimpunkan pemain aeroangkasa dan penerbangan terbaik di dunia.