
Era enjin bahan api fosil Hyundai akan berakhir dalam masa terdekat dengan pembangunnya telah dihentikan sama sekali menurut laporan Korean Economic Daily. Kesemua 12,000 kakitangan yang terlibat dalam kajian dan pembangunan enjin kita dipindahkan ke bahagian pembangunan tren kuasa elektrik.

Hyundai akan mengeluarkan sehingga 10 kereta berkuasa elektrik pada tahun 2022. Antara yang tela diperlihatkan ialah kereta IONIQ mereka yang menggunakan platform serta tren kuasa yang dibangunkan sendiri. Hyundai mendapat perhatian tahun ini apabila mereka dikatakan bekerjasama dengan Apple untuk membangunkan kereta elektrik pertama syarikat dari Cupertino tersebut. Tetapi kerjasama terhenti selepas berita tertiris dan Hyundai dilaporkan enggan sekadar menjadi pengilang untuk Apple.
Selain kereta elektrik, Hyundai turut menggandakan usaha dalam bidang robotik dengan pengambil alihan Boston Dynamics serta membina teksi terbang untuk Uber. Dalam masa enam dekad, Hyundai yang dahulunya dilabel sebagai syarikat kereta murah dari Korea berjaya mengubah imej sebagai antara syarikat kenderaan paling inovatif.
