Ibu, 8 Anak Korban Nahas Ngeri Lebuh Raya Elite

18 Dec 2021 • 10:51 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mayat mangsa kemalangan disusun selepas dikeluarkan daripada kenderaan. - Gambar ihsan Bomba

SUBANG JAYA - Sepuluh individu termasuk lapan beradik maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) menghala ke Shah Alam, di sini, malam tadi.

image is not available
Anggota Bomba sedang mengeluarkan mangsa yang terperangkap. - Gambar ihsan Bomba

Dalam nahas kira-kira jam 11.30 malam itu, sembilan daripada mangsa terkorban terdiri daripada seorang wanita bersama lapan anaknya yang menaiki sebuah Proton Wira

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, nahas tersebut membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.

image is not available
Nahas tersebut membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler. - Gambar ihsan Bomba

Menurutnya, sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.42 malam untuk operasi menyelamat.

“Nahas membabitkan 17 mangsa, 10 daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa yang maut adalah seorang lelaki dan seorang wanita manakala lapan lagi membabitkan lima kanak-kanak lelaki dan tiga perempuan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, mayat kesemua mangsa terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebaik bomba tiba di lokasi.

Ibu yang maut itu disahkan sebagai Norul Naziah Buyong, 37 manakala lapan anaknya ialah Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17, Razatul Aliah Abd Razak (16), Puteri Hidayah Abd Razak (12), Muhamad Aizat Syazwan Abd Razak (10), Muhamad Rolkaizat Rezky Abd Razak (9), Muhamad Hidayat Hakimie Abd Razak (7), Puteri Nur Ain Syalwana Abd Razak (3) dan Muhammad Raid Fathi Abd Razak, 10 bulan.

Turut terkorban ialah Mohamad Rahimi Rolex, 27.

image is not available
Keadaan sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan. - Gambar ihsan Bomba

“Sebuah kren digunakan untuk mengangkat treler terbabit. Semua mangsa dapat dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Operasi ditamatkan pada jam 2.40 pagi. - Getaran, 18 Disember 2021