Kerajaan Sabah komited bangunkan bandar sempadan

17 Dec 2021 • 10:57 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah komited memastikan kawasan bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dibangunkan menjadi bandar sempadan seperti yang dirancang bagi memberi manfaat terutama dalam sektor ekonomi kepada Malaysia dan Indonesia.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor (gambar)  berkata ini juga penting bagi memastikan Sabah sendiri dapat memanfaatkan sepenuhnya pembangunan besar dijangkakan berlaku berikutan perpindahan ibu negara  Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan.

“Di Sabah Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) akan mengetuai usaha membangunkan kawasan sempadan Malaysia-Indonesia di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan Rancangan Malaysia ke-12.

“Satu kawasan disediakan untuk tapak pembangunan bandar sempadan Serudong-Simanggaris di Kalabakan dan kerajaan negeri akan membangunkan kawasan ini dengan mengambil kira potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh Sabah kesan dengan perpindahan ibu kota Indonesia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis pelancaran buku “Perpindahan Ibu Kota Indonesia ke Kalimantan: Implikasinya ke atas Negeri Sabah, Malaysia” anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) secara dalam talian pada Khamis.

Hajiji berkata impak positif ekonomi dan sosial akan dapat dirasai dengan pembangunan bandar sempadan berkenaan melibatkan pembinaan jalan raya menghubungkan Kalabakan ke Simanggaris serta pembinaan  Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) untuk pemeriksaan keselamatan.

Beliau berkata kerajaan negeri di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah melihat isu perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan merupakan isu yang memerlukan tindakan segera di semua peringkat kerana Sabah mempunyai hubungan unik dengan jiran Kalimantan, Indonesia. 

Mengulas mengenai buku berkenaan, beliau yang juga Pro-Canselor UMS berkata segala idea dan maklumat hasil penyelidikan serta penulisan di dalam buku berkenaan wajar dijadikan panduan dalam membentuk dasar demi kepentingan Malaysia mahupun Indonesia.

Sementara itu Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata buku yang dilancarkan itu merupakan hasil gabungan karya ilmiah 31 ahli akademik daripada Malaysia dan Indonesia yang mengupas implikasi perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan. 

“Saya mewakili pengurusan universiti di kesempatan ini merakam ucapan terima kasih kepada Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) yang telah sudi bekerjasama dengan Penerbit Universiti Malaysia Sabah dalam menerbitkan naskah ilmiah ini melalui geran penyelidikan dalaman UMS,” katanya lagi.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.