Anak jati Sabah perkenal produk tempatan di Ibu Negara

29 Dec 2021 • 10:43 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kuala Lumpur: Jiwa usahawan yang ada dalam diri Marlina Madjid, 37, mendorong beliau untuk mengorak langkah dan membawa produk tempatan Sabah ke Ibu Negara.

Pemilik Teratai Borneo berasal dari Tanjung Aru ini yang membuka perniagaan di Jalan Chow Kit, di sini, ternyata amat berani dan sanggup mengambil risiko untuk meneroka aspek baharu dalam bidang perniagaan.

“Barang-barang yang dijual di sini adalah produk tempatan Sabah, antaranya kicap ayam Sabah, cuka ayam Sabah, teh Sabah, belacan senandung Papar, cili padi giling Sabah dan kuih bangkit Sabah.

“Produk-produk tempatan ini adalah antara yang signifikan dengan identiti negeri di bawah Borneo dan pastinya dapat mengubat kerinduan anak-anak Sabah yang merantau di sini,” katanya.

Menurut beliau, produk yang dibawa ke kedainya itu dibawa khas dari Sabah dan beliau ingin memperkenalkan produk tempatan Sabah kepada pengguna luar.

“Kami mula membuka operasi jualan Teratai Borneo sejak 26 November lalu, bermula dari pukul 7 pagi hingga 8 malam setiap hari dan kita juga bercadang untuk membuka cawangan di Klang, Selangor.

“Kita juga menjual ikan bilis mata biru yang memang mendapat permintaan tinggi, serta ikan boulu tanpa tulang, ikan masin, ikan binsuluk, dan tidak lupa juga kopi Tenom,” katanya lagi.

Jelas Marlina, beliau turut menggunakan teknik pemasaran produk secara penghantaran terus kepada pembeli atau COD.

“Kita juga menjual produk kita secara dalam talian dan kita dapati kaedah jualan ini sangat berkesan dan membantu kita meningkatkan hasil jualan dan perniagaan, sekaligus mengelakkan lambakan produk yang tidak terjual.

“Saya berharap lebih ramai usahawan yang mengambil langkah kreatif untuk memasarkan produk mereka kerana sesungguhnya usaha keras pasti akan membuahkan hasil yang berbaloi kepada kita,” katanya.

Teratai Borneo dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik, Datuk Amisah Yassin baru-baru ini.

“Saya berbangga kerana anak jati Sabah, berani menyahut cabaran, merantau dan membawa produk tempatan kita untuk dipasarkan ke pasaran luar, iaitu di Kuala Lumpur ini.

“Ini adalah suatu usaha yang amat membanggakan dan saya merasakan ini adalah titik permulaan untuk dijadikan inspirasi kepada lebih ramai anak jati kita untuk meneroka bidang keusahawanan dan mengorak langkah membawa hasil bumi kita ke luar negeri,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.