Ibu Bapa Wajar Hantar Anak Mereka Ke Pusat Jagaan Berdaftar

15 Dec 2021 • 12:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang guru di Taska Feetrah, cawangan Cyberjaya memantau perkembangan pembelajaran kanak-kanak yang ditempatkan di situ.

KUALA LUMPUR - Isu kecuaian, pengabaian dan penderaan bayi atau kanak-kanak oleh pengasuh, Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) serta pusat jagaan sering kali berlaku bagaikan tiada berkesudahan. 

Lebih meruntun hati apabila ada yang tergamak bertindak kejam sehingga meragut nyawa.

image is not available
Nur Saleemah Zakaria

Berkongsi cerita, pengasas dan pengusaha taska atau pusat jagaan Feetrah Sdn Bhd, Nur Saleemah Zakaria, 38, berkata, kes dera atau kecuaian selalunya dikaitkan dengan institusi yang tidak berdaftar.

Ujarnya, kesedaran ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka di pusat jagaan berdaftar masih di tahap yang membimbangkan, kerana kebanyakan ibu bapa tidak mengambil kira kepentingan tersebut, sebaliknya hanya memikirkan faktor bayaran bulanan atau lokasi semata-mata.

“Banyak kejadian sebelum ini kalau kita lihat, ibu bapa menghantar anak mereka di pusat jagaan tidak berdaftar, sehingga menyebabkan banyak aduan diterima. Ia susulan kebanyakan rumah pengasuh tidak dilatih dan atau mengambil kursus asuhan sewajarnya seperti ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sebenarnya sijil asuhan sangat penting bagi melatih pengusaha mahupun pengasuh, supaya lebih berhati-hati dalam menjaga anak-anak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Getaran.

image is not available
Feetrah Sdn Bhd menyediakan aplikasi untuk membolehkan kanak-kanak di dalam taska dipantau menerusi telefon bimbit.

Selemah yang juga Pengarah Syarikat Feetrah dan berpengalaman selama 10 tahun itu berkata, proses pendaftaran yang mengambil masa lama adalah antara faktor menyebabkan sejumlah besar taska masih belum berdaftar di bawah JKM.

“Sebab itu kalau kita lihat, kebanyakan pusat jagaan berdaftar mengenakan yuran yang agak tinggi kerana proses tersebut akan dinilai secara keseluruhan seperti, keluasan kawasan, keselamatan, kebersihan dan macam-macam lagi,” jelasnya.

image is not available
Proses sanitasi sentiasa dijalankan di Taska Feetrah, bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Menurut Nur Saleema, selain aspek pendidikan, isu keselamatan kanak-kanak adalah faktor terpenting yang perlu diambil berat oleh semua ibu bapa dan penjaga.

"Justeru, pemilihan pengasuh, taska atau pusat jagaan kanak-kanak berdaftar amat penting, bukan sahaja untuk memastikan kualiti dan standard asas seorang pengasuh dalam memberikan khidmat, tetapi juga mengurangkan risiko berlakunya kecuaian dan penderaan terhadap kanak-kanak," tegasnya.

Terdahulu, Exco Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Muhammad Hariz Md Yusoff sebelum ini dipetik sebagai berkata, statistik Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM menunjukkan, dua pengusaha pusat jagaan sedang berdepan pendakwaan di mahkamah akibat gagal mendaftar premis masing-masing.

Selain itu, katanya, data JKM dari 2014 sehingga 2021 menunjukkan, rekod sabitan kesalahan bagi kegagalan membuat pendaftaran pusat jagaan adalah sebanyak 27 kes di bawah Seksyen 5 Akta Pusat Jagaan 1993, manakala 44 sabitan lagi melibatkan taska di bawah Seksyen 6 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Muhammad Hariz juga memaklumkan, masih ramai ibu bapa yang tidak menyedari bahawa tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya anak-anak mereka ditimpa kemalangan sewaktu berada dalam jagaan pengasuh di rumah, taska atau  pusat jagaan. 

"Pengasuh boleh didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 31 (1) (a) dan sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

“Sekiranya kes melibatkan kematian, Kanun Keseksaan juga boleh terpakai seperti membunuh dengan niat mengikut Seksyen 302 atau membunuh tanpa niat di bawah Seksyen 304," katanya.

Menurut Muhammad Hariz, ibu bapa atau penjaga bagaimanapun perlu membuat laporan polis terlebih dahulu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan selanjutnya sebelum mendapatkan arahan pendakwaan jenayah daripada Pendakwa Raya.

Beliau menambah, ibu bapa juga boleh memfailkan tindakan perundangan sivil melalui saman sivil bagi menuntut pampasan berbentuk wang tunai, sebagai pengajaran kepada pengasuh kanak-kanak atau taska yang terlibat.

“Ibu bapa masih boleh mengambil tindakan yang sama bagi anak-anak yang berada di bawah jagaan pengasuh, taska dan pusat jagaan tidak berdaftar. 

"Namun antara masalah atau kekangan yang mungkin berlaku ialah kesukaran pihak polis untuk menjalankan siasatan, sebagai contoh mengenal pasti bukti terutama rakaman kamera litar tertutup yang mungkin tiada di premis berkenaan untuk mengukuhkan dakwaan jenayah atau sivil ke atas pelaku,” ujarnya. - Getaran, 15 Disember 2021.