Dugaan bertimpa, pengusaha katering rugi akibat banjir

30 Dec 2021 • 9:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

TEMERLOH - "Baru nak bernafas semula, dah banjir pula," kata Ubaidah Talib, 55, salah seorang pengusaha katering di Kampung Baru Kapor di sini.

Ubaidah yang mengusahakan Iqbal Catering terpaksa 'gigit jari' apabila peralatan miliknya musnah akibat banjir yang melanda kampung berkenaan pada Ahad lalu.

Menurutnya, banjir kali ini menyebabkan dia kerugian dianggarkan lebih RM30,000.

"Sebelum ini perniagaan saya tidak boleh beroperasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Baru nak 'bernafas' semula, banjir pula, memang terduduk dibuatnya.

"Termenung sekejap fikir nasib kali ini. Memang tak jangka banjir kali kedua tahun ini lebih teruk berbanding awal Januari lalu.

image is not available

"Air naik terlalu cepat, saya hanya sempat selamatkan dua peti ais, sementara barangan lain gagal diselamatkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Selasa.

Ubaidah berkata, walaupun sedih namun dia reda dengan ujian dan kerugian yang dialami.

"Memang terkesan selepas baru beberapa bulan dapat tempahan katering, kini saya memerlukan lebih masa untuk kembali memulihkan semula perniagaan," katanya yang sudah enam tahun mengusahakan katering.