
SHAH ALAM, 7 DIS: Tourism Selangor hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama SMARTSEL Sdn Bhd (SMARTSEL) dalam usahasama membangun dan menambah baik jaringan jalur internet berkelajuan tinggi di zon awam serta kawasan tarikan pelancong.
Ketua pegawai eksekutifnya berkata kerjasama itu turut melibatkan pemasangan, pengujian dan pelancaran perkhidmatan sambungan internet.
“Tourism Selangor akan bertanggungjawab dalam menyediakan akses dan saluran ke semua kawasan atau tapak pelancongan terpilih di negeri ini bagi tujuan pembangunan serta pembinaan infrastruktur telekomunikasi.
“Kita akan beri tumpuan di Hutan Lipur Komanwel, Hutan Lipur Kanching, Hutan Lipur Sungai Congkak dan Rumah Rehat Sri Berkat, Fraser Hill maka apabila berjaya kita akan luaskannya di Kuala Selangor serta Sekinchan,” kata Azrul Shah Mohamad.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menantangani MoU mewakili Tourism Selangor manakala SMARTSEL oleh Pengarah Urusannya Ahmad Akmal Hamzah.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut hadir menyaksikan majlis berkenaan yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini.
Azrul berkata beliau berharap usahasama itu mampu memberi manfaat kepada semua pihak dan orang ramai serta operator produk pelancongan negeri ke arah usaha pendigitalan pelancongan yang lebih mampan.
“Sebagai salah sebuah usaha proaktif dalam menetapkan semula industri pelancongan domestik khususnya di Selangor, Kerajaan Negeri menerusi Tourism Selangor telah melancarkan kempen Pusing Selangor Dulu pada Disember tahun lalu.
“Kempen ini digerakkan menerusi landasan digital terutamanya di media sosial rasmi Tourism Selangor dan kewujudan jaringan jalur lebar di zon awam dan kawasan pelancongan, dijangka akan memberikan impak signifikan terhadap pemerkasaannya,” katanya.
The post Tourism Selangor, SMARTSEL bekerjasama perkukuh jaringan internet di kawasan pelancongan appeared first on Selangorkini.
