Banjir di Malaysia
Negara kita dikejutkan dengan satu musibah yang besar dimana banjir besar telah berlaku dan sedang berlaku di beberapa tempat. Kawasan yang teruk dilanda banjir khusus di Lembah Klang, Klang, dan Shah Alam. Tidak kurang juga di negeri lain seperti Pahang, Negeri Sembilan, dan Perak. Bagi kawasan Lembah Klang adalah paling buruk dalam sejarah. Hujan tidak berhenti selama 3 hari telah menyebabkan paras air meningkat sangat cepat termasuk pada pukul 3 pagi. Situasi ini berlaku dalam keadaan yang tidak bersedia dan telah meragut belasan nyawa setakat ini.
Pelbagai kerugian telah dicatatkan sehingga ada keluarga yang hanya tinggal sehelai sepinggang sahaja kerana kehilangan seluruh rumah yang dihanyutkan oleh banjir. Tidak kurang juga beribu-ribu buah kereta yang sangkut di tempat letak kereta dan di tepi jalan. Ada juga kereta yang bernilai jutaan ringgit gagal diselamatkan dan juga dimasuki air sehingga paras pinggang. Hari ini kita kongsikan beberapa tips kepada pemilik kenderaan yang ingin memulakan langkah menyelamatkan kenderaan ketika dilanda banjir.
SEMAK SAMA ADA KENDERAAN DILINDUNGI INSURANS

Pelbagai syarikat ada menawarkan perlindungan insurans bagi bencana alam selain daripada kemalangan dan kecurian. Akan tetapi ia adalah pilihan dan bukan ada pada semua polisi insurans kenderaan korang. Dalam situasi ini, jika kenderaan kita diinsurans dengan bencana alam, kita boleh merancang pelan membaikpulih dengan lebih baik atau terus hubungi syarikat insurans terbabit. Jika tiada, kita boleh merancang untuk menambah perlindungan pada bayaran premium insurans seterusnya.
CABUT WAYAR BATERI

Bateri adalah antara komponen yang penting untuk menghidupkan enjin kenderaan. Kedudukan bateri pada majoriti kenderaan adalah berada ditempat yang mudah dicapai. Mungkin sesetengah jenis kenderaan yang berasal dari Eropah yang mempunyai kedudukan bateri di bonet belakang seperti Mercedes Benz, BMW, dan Audi. Untuk model kenderaan lain selalunya akan berada di bonet depan dan mudah untuk dicapai. Perkara yang mudah, anda boleh mencabut wayar hitam dan merah yang berpaut kepada bateri untuk menghilangkan kuasa elektrik dan elektronik kenderaan supaya tahap kerosakan akan menjadi minimum apabila berlaku banjir.
PINDAH KENDERAAN

Pilihan dan persediaan ketiga ini adalah mengikut kemampuan kesempatan masa kita. Jika kita mempunyai saudara atau kenalan yang mempunyai rumah di daerah sebelah atau berdekatan, kita boleh menumpang untuk meletak kenderaan dan penuhkan barang dalam kereta anda seperti dokumen, alatan elektrik untuk langkah awal. Pilihan tempat juga kita kena pilih tempat yang tinggi dan berisiko rendah untuk dilanda banjir. Jika tidak, korang akan buat kerja banyak kali nanti.
TUTUP EKZOS DAN KOMPONEN ELEKTRONIK

Selain bateri, ekzos juga adalah komponen yang tidak boleh masuk air kerana akan menyebabkan saluran angin untuk keluar menjadi terbantut. Korang boleh cari plastik atau benda yang boleh menjadi penutup sepenuhnya lubang ekzos daripada dimasuki air. Dengan cara itu juga kita boleh meminimumkan tahap kerosakan pada kenderaan kita.
Moga dengan tips-tips yang kami kongsikan akan mendapat manfaat kerana sebarang persediaan harus dilakukan dengan rapi. Pengajaran yang dapat kita pelajari adalah bersedia walaupun kediaman kita tidak pernah dilanda banjir, keadaan bakal menjadi tidak terkawal dan tidak diduga. Semoga semua mangsa dan keluarga yang dilanda banjir dimudahkan urusan pemulihan dan kembali pada kehidupan seharian dengan normal.
Abdul Muhaimin adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.
