Sektor kuasa disokong permintaan tinggi terhadap elektrik

Business & Finance
15 Dec 2021 • 10:13 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Pelancaran agresif program vaksinasi oleh kerajaan untuk membendung penularan Covid-19 serta pembukaan semula ekonomi memberi prospek yang baik kepada sektor kuasa negara susulan permintaan tinggi daripada sektor pembuatan dan komersial.

Meskipun kemunculan varian baharu Omicron, Malaysia berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 3 hingga 4 peratus tahun ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini.

Syarikat utiliti terbesar negara Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyaksikan keuntungan bersihnya melonjak 17 peratus kepada RM2.78 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2021, berbanding RM2.38 bilion bagi tempoh yang sama pada 2020, di atas sokongan hasil sebanyak RM36.89 bilion yang meningkat 9.64 peratus daripada RM33.65 bilion.

TNB berkata permintaan terhadap elektrik mula bertambah baik, meningkat 0.6 peratus berbanding penguncupan 6.2 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun kewangan lepas.

Ia menjangkakan prestasi stabil bagi suku keempat tahun ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks utiliti mencatatkan pertumbuhan tinggi 0.7 peratus bagi indeks bekalan elektrik dan gas pada Oktober berbanding setahun lalu.

Para penganalisis berpandangan permintaan terhadap elektrik kini menunjukkan sedikit pemulihan berbanding tahun lepas, disokong oleh penggunaan tinggi daripada sektor pembuatan dan komersial.

“Permintaan elektrik dijangka bertambah baik pada akhir tahun dan memasuki ke tahun depan sejajar dengan pembukaan semula ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN),” kata mereka.

Margin rizab penjanaan dijangka sebanyak 52 peratus pada akhir tahun dan merosot di bawah 25 peratus pada 2030 sebelum mencapai 21 peratus menjelang 2039.

“Permintaan terhadap tenaga elektrik di Malaysia sentiasa berkembang sejajar dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Dengan sasaran pertumbuhan KDNK tahun penuh 2021 kekal sebanyak 3 hingga 4 peratus, disokong oleh aktiviti ekonomi yang meningkat berdasarkan langkah-langkah pengawalan virus dilonggarkan secara berperingkat dalam persekitaran sokongan dasar yang berterusan, sektor utiliti tenaga akan turut menjejaki prestasi ekonomi dan menjangka pertumbuhan,” katanya.

Walaupun dunia pada tahun ini menghadapi krisis tenaga apabila permintaan untuk komoditi tenaga melebihi penawaran dan ini menyebabkan turun naik dalam penetapan harga jangka pendek dengan harga semerta global untuk gas asli melonjak, impak terhadap Malaysia tidak membimbangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan bahawa Malaysia menguruskan jaminan tenaganya walaupun terdapat peningkatan dalam komoditi tenaga, iaitu arang batu dan gas asli cecair.

Gas asli dan arang batu digunakan untuk menjana hampir 95 peratus daripada tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia dan kosnya merangkumi hampir 42 peratus daripada tarif elektrik asas pada masa ini.

Beliau berkata kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan agensi seperti Petronas telah mengambil langkah termasuk liberalisasi pasaran gas untuk mengukuhkan lagi jaminan tenaga negara.

Kos komoditi seperti minyak, arang batu dan gas asli memberi impak yang besar kepada kos penjanaan elektrik.

Oleh itu, dengan turun naik dari segi penetapan harga selain kekurangan bekalan akan mewujudkan kesan pindahan kepada tarif elektrik. Perubahan kos bahan api selepas pelarasan akan digabungkan sebagai surcaj atau rebat kepada mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) setiap enam bulan.

Perubahan seterusnya dijadualkan pada permulaan 2022. Sebagai syarikat berkaitan kerajaan, TNB telah memberikan diskaun bil elektrik kepada pengguna akhir sepanjang tempoh pandemik Covid-19 sebagai sebahagian daripada pakej bantuan kerajaan kepada isi rumah dan perniagaan.

Menurut TNB, diskaun bil elektrik berjumlah kira-kira RM2.67 bilion telah disalurkan kepada pelanggannya bagi tempoh April-Disember 2020 dan potongan tersebut dijangka meningkat kepada RM3.31 bilion menjelang akhir tahun ini.

Purata tarif asas berada pada 39.45 sen/kWh bagi 2018-2021 yang mana 16.5 sen adalah bagi kos bahan api. Pada separuh kedua 2021, surcaj ICPT sebanyak 0.87 sen/kWh yang mencecah RM493 juta telah ditanggung oleh pihak Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) yang telah diserahkan dalam bentuk rebat kepada pengguna.

Peralihan tenaga akan kekal sebagai antara keutamaan apabila lebih banyak syarikat korporat serta penggiat utiliti bertindak memperluas pendedahan tenaga boleh baharu (RE) masing-masing.

Malaysia misalnya menyasarkan pertumbuhan RE kepada 31 peratus daripada campuran penjanaan tenaga menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.

Pada masa ini, RE menyumbang sebanyak 18 peratus daripada campuran tenaga itu, didominasi oleh teknologi tenaga hidro yang mewakili 86 peratus daripada kapasiti yang boleh diperbaharui.

Kapasiti RE yang dipasang pada masa ini adalah 7,995 MW dan menjelang 2035, unjuran kapasiti berkenaan adalah dianggarkan 18,000 MW -- melebihi dua kali ganda daripada kapasiti sedia ada.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebelum ini menyatakan bahawa sejajar dengan unjuran RE tersebut, intensiti pelepasan karbon daripada sektor tenaga dijangkakan berkurangan sebanyak 45 peratus pada 2030 dan 60 peratus pada 2035 yang sejajar dengan sasaran Malaysia di bawah Perjanjian Paris.

Tenaga solar telah dikenal pasti sebagai RE dengan potensi paling tinggi di Malaysia berikutan keadaan negara ini yang mempunyai banyak sinaran matahari.

Bersandarkan faktor itu, Malaysia menyasarkan untuk memperkenalkan sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 500MW dari 2030 hingga 2034 yang membolehkan penyimpanan lebihan tenaga dihasilkan oleh panel solar untuk kegunaan pada kemudiannya.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, turut mengumumkan keputusan Malaysia untuk tidak lagi membina loji jana kuasa arang batu baharu yang dilihat akan membolehkan tenaga boleh baharu bukan hidro untuk menampung peningkatan permintaan tenaga di tengah-tengah usaha menghentikan penggunaan loji jana kuasa berasaskan tenaga terma.

Program Tarif Elektrik Hijau (GET) yang diperkenalkan pada November 2021 untuk menggantikan skim myGreen+ semasa juga akan memacu pertumbuhan RE kerana ia menarik minat syarikat multinasional. Ia bertujuan untuk membolehkan pengguna mengurangkan pelepasan karbon mereka dengan membeli tenaga boleh diperbaharui bersasaran 4,500GWh elektrik boleh diperbaharui sebagai agihan untuk program GET.

TNB, HSBC, Nestlé Malaysia serta CIMB Bank adalah antara syarikat yang menunjukkan minat terhadap skim ini dan di samping itu, Suruhanjaya Tenaga, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) termasuk MyPower Corp dan semua badan kerajaan telah komited untuk membeli semua tenaga elektrik mereka daripada program GET.

Dari segi korporat, Nestle Malaysia misalnya akan beralih kepada RE dalam semua operasinya di Malaysia setakat 1 Jan 2022, yang akan membolehkan kumpulan itu mengurangkan pelepasan sebanyak 75,000 tan pencemaran setiap tahun.

TNB pula merancang untuk melabur RM22 bilion dalam tempoh 2022-2024 di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) bagi membangunkan grid masa depannya menjadi pemboleh utama peralihan tenaga, yang akan menyokong matlamat negara untuk beralih daripada menggunakan bahan api kepada 31 peratus RE menjelang 2025.

Menteri KeTSA Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menyatakan komitmen kementeriannya dalam meneruskan agenda bagi memastikan sumber semula jadi negara dilindungi, diurus secara mampan dan bertanggungjawab untuk generasi akan datang.

Menurut Takiyuddin, selaras dengan agenda menangani perubahan iklim negara, KeTSA juga komited untuk meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui melalui Pelan Pembangunan Penjanaan Bekalan Elektrik 2021-2039.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dalam laporannya mengumumkan selepas jatuh kira-kira satu peratus pada 2020 akibat kesan pandemik Covid-19, permintaan elektrik global dijangka meningkat hampir lima peratus pada 2021 dan empat peratus menjelang 2022 didorong oleh pemulihan ekonomi global.

Dalam laporan pasaran elektrik separa tahunannya, ia berkata peningkatan majoriti permintaan elektrik dijangka datang dari rantau Asia Pasifik, terutamanya China dan India.

“Berdasarkan ketetapan dasar semasa dan aliran ekonomi, penjanaan elektrik daripada tenaga boleh baharu - termasuk jana kuasa hidro, angin dan fotovoltaik berada di landasan untuk berkembang dengan lebih kukuh di seluruh negara dalam tempoh dua tahun - sebanyak lapan peratus pada 2021 dan lebih enam peratus pada 2022.

“Namun, walaupun dengan perkembangan yang kukuh ini, tenaga boleh baharu hanya akan dapat memenuhi separuh daripada unjuran peningkatan permintaan elektrik global dalam tempoh dua tahun itu,” kata laporan IEA itu.

Sementara itu, menurut MIDF Research, permintaan elektrik menyaksikan pemulihan berperingkat pada separuh pertama 2021, meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun seiring dengan pemulihan dalam keadaan makro.

Bagaimanapun, pada suku ketiga berlaku gangguan dalam momentum pemulihan dengan permintaan mencatatkan penguncupan 6.7 peratus tahun ke tahun kepada 26,830GWh berikutan pelaksanaan semula sekatan pergerakan yang lebih ketat antara Jun dan pertengahan Ogos.

“Walaupun kini kami menjangkakan pertumbuhan lembap bagi 2021 memandangkan gangguan pada suku ketiga, dengan ketiadaan sekatan pergerakan selanjutnya, kami menjangkakan pertumbuhan permintaan 2022 sebanyak 2.8 peratus tahun ke tahun kepada 114.8 TWj, disokong oleh jangkaan pertumbuhan KDNK sebanyak enam peratus,” katanya dalam satu nota penyelidikan.-Bernama