
SUNGAI PETANI: Seorang pemancing maut manakala lima lagi terselamat selepas bot yang dinaiki terbalik dipukul ombak di perairan Tanjung Dawai, di sini, pada kira-kira 12 tengah hari tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Anuar Abdul Rahman @ Abdul Rahim berkata lelaki yang maut dikenali sebagai Muhammad Ridhwan Mokhtar, 38, berasal dari Gurun.
“Seorang mangsa, Hafizul Ajis Samsudin, 31, mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, bagaimanapun keadaannya stabil dan dalam proses pemulihan pernafasan akibat lemas.
“Tekong bot, Che Roslan Hashim, 49, serta tiga lagi pemancing, Mohd Firdaus Zainal, 36, Engku Mohamad Farizam Fadilah, 19 dan Zulkifli Ahmad, 45, terselamat dan tidak cedera,“ katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Anuar berkata keenam-enam lelaki tersebut dikatakan berlepas dari Jeti Teluk Bayu, Batu Lintang, Tikam Batu dekat sini, pada 10 pagi tadi menuju ke Tuas yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pulau Sayak untuk memancing.
Bagaimanapun, menurutnya ketika tiba di lokasi kejadian bot jenis fiber yang dinaiki dipukul ombak setinggi kira-kira dua meter menyebabkan kesemua mereka terjatuh ke dalam laut.
“Tekong bot bertindak menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk meminta bantuan dan pada 12 tengah hari, bot Perkasa milik agensi itu dengan kekuatan empat kru tiba di lokasi kejadian dan menyelamatkan mereka,“ katanya.
Menurutnya, pemancing yang cedera telah dibawa oleh bot lain yang berada berdekatan dan dihantar oleh orang awam bagi mendapatkan rawatan di HSAH, manakala mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jeti Tanjung Dawai oleh APMM sebelum dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
-Bernama
