Bot terbalik dipukul ribut, warga Thailand nyaris maut

30 Dec 2021 • 4:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PASIR PUTEH - Seorang nelayan warga Thailand nyaris maut selepas bot yang dikemudinya terbalik dipukul ribut ketika mahu memasuki muara Tok Bali, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, mangsa yang terselamat dikenali sebagai Ahkung, 40.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, mangsa telah berjaya diselamatkan oleh bot penyelamat Tok Bali Supply Base (TBSB) yang menyaksikan kejadian tersebut.

"Menurut maklumat daripada pemilik bot itu, mangsa telah keluar memasang unjang di laut Tok Bali pada Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, semasa memasuki muara Tok Bali, bot itu telah terbalik dipukul ombak serta angin kuat.

Beliau berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan baik.

Ediansha berkata, pemilik bot tersebut kemudian telah dinasihatkan untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu.