Bomba Selamatkan Wanita Cuba Bunuh Diri

15 Dec 2021 • 5:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anggota Bomba dari BBP Lintas memotong geriji besi bagi menyelamatkan seorang wanita yang dipercayai cuba terjun dari tingkat 3, bangunan Hospital Queen Elizabeth II, hari ini.

KOTA KINABALU - Seorang wanita tempatan berjaya diselamatkan anggota bomba daripada cubaan membunuh diri di Hospital Queen Elizabeth II, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 petang tadi, wanita berusia 30-an itu dikatakan cuba terjun dari tingkat tiga bangunan hospital berkenaan.

Bagaimanapun, perbuatannya disedari orang ramai yang bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi mengesahkan pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada jam 1.16 petang, sebelum sepasukan pegawai dan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati seorang wanita berada di luar tingkap bergeriji di tingkat tiga hospital tersebut.

"Dengan bantuan ahli keluarga, kami mengambil masa hampir 30 minit untuk memujuk wanita berkenaan," katanya.

Sebaik berjaya dipujuk, anggota bomba bertugas kemudian memotong geriji besi tingkap tersebut untuk misi menyelamat.

Menurut Agustavia, mangsa yang dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan itu kemudian diserahkan kepada pihak hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya jam 2.38 petang tadi. - Getaran, 15 Disember 2021