Harga barang dijangka stabil antara Januari, Februari

11 Dec 2021 • 12:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan harga barangan termasuk sayur dan ayam kembali stabil antara Januari dan Februari tahun depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia berikutan harga barangan khususnya sayur dan ayam kini mula menunjukkan penurunan.

"Antara faktor dan sebab penurunan harga berlaku, berikutan pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang sedang dilaksanakan selain cuaca di tempat pengeluaran sayur sudah kembali pulih.

"Penurunan harga ayam pula disebabkan usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang mengimport bekalan ayam ke negara ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak PJKM di pekarangan Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda di sini, pada Sabtu.

Rosol berkata, PJKM mungkin tidak disambung sekiranya harga barangan kembali stabil.

image is not available

"Kerajaan menetapkan program ini dilaksanakan sehingga Mac tahun hadapan dan sekiranya harga barang sudah kembali stabil antara Januari dan Februari mungkin ia tidak disambung lagi.

"Bagaimanapun, jika harga barang naik berterusan sehingga April iaitu ketika musim perayaan, pemantauan dari semasa ke semasa akan terus dijalankan kerana tidak mahu rakyat terkesan," katanya.

Sementara itu, Rosol berkata, setakat ini PJKM sudah dilaksanakan bagi 15 kawasan Parlimen di seluruh negara dengan nilai jualan mencecah setengah juta.

"Sambutan program ini amat menggalakkan apabila lebih 28,000 pengunjung hadir dan ia akan terus diadakan secara berperingkat di kawasan lain dengan membabitkan 222 Parlimen secara keseluruhan," katanya.