Penjarakan Fizakal, Pelitup Muka Diwajibkan Semula Di Arab Saudi

29 Dec 2021 • 8:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang wanita memakai pelitup muka ketika membeli barang di sebuah pasar raya di Arab Saudi. - Gambar AFP

KUALA LUMPUR - Kerajaan Arab Saudi mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di kesemua tempat tertutup dan terbuka bermula Khamis.

Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri (MoI) Saudi melaporkan keputusan itu dibuat selepas kes harian jangkitan COVID-19 di negara itu kembali melonjak.

Sehingga semalam, Arab Saudi mencatatkan 602 kes jangkitan baharu, 147 kes sembuh dan satu kematian.

Pada Oktober lepas, Arab Saudi mengumumkan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 antaranya individu yang sudah divaksin sepenuhnya tidak perlu lagi memakai pelitup muka di tempat awam terbuka.

MoI menjelaskan semua prosedur dan arahan semasa tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa kesihatan, berdasarkan perkembangan situasi epidemiologi tempatan dan global.

MoI turut mengulangi gesaan supaya orang ramai mematuhi langkah berjaga-jaga dan segera melengkapkan dos vaksinasi mereka. - Bernama