Rasuah: Bekas guru besar didenda RM3,000

15 Dec 2021 • 11:35 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang bekas guru besar sekolah rendah di Kinabatangan, dibebaskan daripada tuduhan membuat tuntutan palsu kepada Pusat Zakat Negeri, tetapi disabit menerima barang berharga iaitu cek bernilai RM1,000 tanpa balasan.

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar melepaskan dan membebaskan (DNA) Majahil Majingkil, 57, selepas memutuskan bahawa pendakwaa telah gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Majahil.

Bagaimanapun, mahkamah memerintah supaya Majahil membayar RM3,000 atau penjara sebulan selepas dia disabitkan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, berkaitan penjawat awam menerima benda yang berharga, dengan tiada balasan, daripada orang yang ada kena-mengena dalam apa-apa prosiding atau urusan yang dijalankan oleh penjawat awam itu.

Di bawah Seksyen itu, hukuman diperuntukkan adalah penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Majahil disabit menerima cek daripada Pusat Zakat Negeri antara Julai dan Oktober 2015 di SK Buang Sayang, Kinabatangan, Sandakan.

Bagi kes dia diberi DNA, Majahil dituduh mengemukakan dokumen palsu berhubung program Israk Mikraj di tempat dan masa yang sama.

Tuduhan menyatakan bahawa Majahil didakwa mengemukakan kertas kerja tidak bertarikh mengenai program sambutan Israk Mikraj dengan niat mahu memperdaya pegawai bertugas dan membuatnya percaya bahawa program itu dijalankan pada 16 Julai 2014 di sekolah itu, sedangkan ia tidak pernah dianjurkan.

Kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta sama membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda lima kali ganda jumlah terbabit atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan telah memanggil 16 saksi sementara pembelaan hanya memanggil seorang saksi.

Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin dari SPRM menjalankan pendakwaan sementara Majahil diwakili oleh peguam Datu Baginda Datu Laja.

Prosiding dijalankan melalui Zoom pada Selasa.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.