
ALOR GAJAH: Banjir yang melanda Kampung Brisu, Lubok China, di sini Sabtu lepas, menyebabkan seorang penternak menanggung kerugian lebih RM50,000 selepas 500 ekor ayam kampung mati selain ternakan ikan patin dan tilapia dalam kolam hanyut.
Mohd Zaidi Tahir, 38, berkata bencana yang dihadapi kali ini disifatkan paling teruk apabila kawasan sekitar kebun dan kandang haiwan ternakannya dinaiki air separas tiga meter yang turut merosakkan sebahagian pagar di situ.
“Kini hanya tinggal beberapa belas ekor ayam kampung dalam reban, manakala selebihnya mati. Sepatutnya ternakan itu sedia untuk dijual pada pertengahan Januari ini bagi bekalan Tahun Baharu Cina dengan harga RM18 sekilogram.
“Dalam kolam ternakan ikan pula, terdapat kira-kira 20,000 ekor tilapia dan 10,000 ekor patin yang juga telah mencapai tempoh matang untuk dijual dengan harga RM6 sekilogram, namun setakat ini saya belum pasti jumlah ikan yang tinggal,“ katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Mohd Zaidi berkata banjir tempoh hari berlaku dengan pantas lebih kurang pukul 1 pagi, namun beliau sempat memindahkan kira-kira 40 ekor lembu dan lapan kerbau dengan dibantu dua pekerja ke kawasan lebih tinggi berhampiran.
Katanya mesin pemotong, mesin campuran, pam air, 40 kampit dedak ayam dan lembu serta pelbagai barangan lain turut rosak, malah ada yang dibawa arus selain lorinya juga ditenggelami air.
“Hujan pada petang itu agak lebat, namun keadaan masih seperti biasa sehinggalah pada sebelah malam saya dapat tahu masjid berhampiran telah dinaiki air dan saya terus ke kandang untuk menyelamatkan ternakan kerana bimbang berlaku banjir berikutan kawasan ini berhampiran Sungai Brisu.
“Keadaan seumpama ini pertama kali berlaku kerana banjir yang berlaku sekali atau dua kali setahun di kawasan ini tidak pernah seteruk seperti Sabtu lepas, selalunya hanya separas betis sahaja.
“Walaupun sedih dan berat untuk menerimanya, saya reda serta menganggapnya satu ujian dan saya masih bersyukur kerana ternakan kambing tidak terjejas dalam kejadian banjir itu,“ katanya.-Bernama
