MUDA Kumpul RM2 Juta Bantu Mangsa Banjir, Lancar Misi BANGKIT

27 Dec 2021 • 7:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sukarelawan parti MUDA membantu membersihkan rumah yang terkesan dengan bencana banjir. - Gambar dari Facebook MUDA

KUALA LUMPUR - Hanya dalam tempoh 10 hari, tabung Misi Banjir Nasional dilancarkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berjaya mengutip RM2,062,186.98.

Jumlah itu dikumpulkan daripada 42,209 penyumbang di seluruh negara.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, usaha itu adalah hasil kerja keras Jawatankuasa Misi Banjir MUDA yang bertungkus-lumus memastikan kebajikan mangsa bencana terbabit dijaga sepanjang krisis berkenaan.

“Bagi memastikan ketelusan pengurusan kewangan, MUDA mengalu-alukan firma audit yang mahu menawarkan khidmat audit pada kadar berpatutan dan sesuai dengan misi kebajikan MUDA,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, MUDA juga kini melancarkan inisiatif pasca banjir menyasarkan beberapa matlamat yang dinamakan Misi BANGKIT.

Matlamat itu, katanya, menyediakan bantuan kewangan bernilai RM300 kepada 300 keluarga mangsa banjir.

Jelasnya, bantuan khusus kepada pelajar turut disediakan, seperti set alat tulis, beg dan kelengkapan pakaian sekolah, masing-masing kepada 100 keluarga, selain komputer riba untuk 100 mahasiswa.

Syed Saddiq berkata, bantuan Misi BANGKIT juga mencakupi bantuan barangan rumah, seperti peti sejuk dan mesin basuh kepada 50 keluarga serta set periuk nasi elektrik, dapur gas dan cerek untuk 80 keluarga.

“Matlamat lain adalah menawarkan bantuan undang-undang dan bantuan kesihatan mental dengan kerjasama NYAWA Misi BANGKIT, iaitu usaha MUDA untuk memastikan keluarga mangsa dapat pulih daripada kesan bencana dan memulakan kehidupan selepas pasca banjir.

“Mana-mana pihak yang ingin membantu dan menyumbang untuk misi ini boleh menyalurkannya kepada maribantu.my atau berhubung dengan Saudari Amira Aisya melalui e-mel di amiraaisyaabdaziz@gmail.com,” katanya. - Getaran, 27 Disember 2021