
Kota Kinabalu: Kebanyakan sungai di Sabah adalah habitat sesuai untuk buaya di mana beberapa kawasan ini bertindih dengan kawasan penempatan manusia, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin.
Justeru, katanya, Jabatan Hidupan Liar akan memasang papan tanda amaran di kawasan yang disyaki mempunyai populasi buaya yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa orang ramai.
“Penduduk tempatan perlu lebih berwaspada dengan tempat sebegini bagi mengelak mereka terdedah kepada serangan buaya,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, Rabu lepas.
Beliau menjawab isu serangan buaya yang dibangkitkan Adun Sebatik Hassan A Gani Pg Amir.
Jafry juga berkata Pejabat Hidupan Liar Tawau telah mengambil maklum mengenai kejadian di Kampung Serudung Laut dan Sungai Berantian dan telah membantu keluarga mangsa membuat tuntutan pampasan daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.
“Pada masa sama, Pejabat Hidupan Liar Tawau telah memasang perangkap untuk menangkap buaya tetapi keadaan arus kadang-kadang deras sehingga menjejaskan keberkesanan perangkap itu.”
Mengenai cadangan Adun Telupid Jonnybone J Kurum untuk mewujudkan pusat perlindungan gajah di Telupid, Jafry berkata, Kinabatangan sudah mempunyai Pusat Perlindungan Gajah Borneo.
“Santuari itu dibangunkan dengan tujuan untuk menjadi pusat rawatan gajah yang cedera atau pusat pemulihan dan adaptasi.
“Kementerian menyedari masalah konflik manusia-gajah yang berlaku bukan sahaja di Telupid tetapi juga di kebanyakan daerah di Pantai Timur.
“Jabatan Hidupan Liar Sabah amat prihatin terhadap isu-isu melibatkan gangguan akibat hidupan liar khususnya hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Hidupan Liar bersama beberapa NGO dan komuniti setempat dengan sokongan Pejabat Daerah Telupid telah bekerjasama untuk menangani masalah gangguan gajah dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, pewujudan “Kumpulan WhatsApp” di kalangan ketua jabatan di Telupid, ketua kampung, anggota masyarakat dan renjer Jabatan Hidupan Liar Sandakan membolehkan makluman dan maklum balas segera diambil.
“Langkah mitigasi juga telah dilaksanakan termasuk pemasangan pagar elektrik dan penubuhan Pasukan Kawalan Gajah.
“Inisiatif ini menunjukkan kesan positif terhadap pergerakan gajah di kawasan itu dan kekerapan gangguan ke kawasan kampung telah dikurangkan.”
Mengenai masalah monyet yang dibangkitkan Adun Bongawan, Daud Yusof, Jafry berkata Jabatan Hidupan Liar menerima aduan mengenai gangguan monyet di kampung bukan sahaja di Bongawan, malah di seluruh negeri.
“Gangguan monyet ini didorong oleh pembukaan kawasan hutan yang pernah menjadi habitat haiwan ini.
“Jabatan Hidupan Liar Sabah sentiasa mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima dengan menangkap dan memindahkan monyet yang menimbulkan masalah di kawasan itu,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

