POIC akan meterai perjanjian jadi ahli Pasport Logistik Dunia

Business & Finance
21 Dec 2021 • 11:14 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Syarikat milik Sabah, POIC Sabah Sdn Bhd dijangka memeterai Perjanjian Rangka Kerja yang akan menyaksikan pelabuhan POIC menjadi ahli Pasport Logistik Dunia (WLP), sekali gus menghubungkannya dengan keahlian syarikat global serta peneraju logistik yang kian meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Datuk Fredian Gan berkata majlis pemeteraian itu akan berlangsung pada 23 Disember ini di Pavilion Malaysia, Ekspo 2020 Dubai semasa lawatan delegasi Sabah ke ekspo di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Hasrat WLP meningkatkan perdagangan antara pasaran baharu muncul adalah pakatan global yang sesuai dengan rancangan kami untuk membangunkan POIC Lahad Datu sebagai hab pemprosesan dan logistik serantau di wilayah timur,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

POIC Lahad Datu dibangunkan sejak 2005 untuk memanfaatkan lokasi strategiknya dalam lingkungan BIMP-EAGA, Laluan Perkapalan Lombok-Makassar, pelabuhan dalam dan set infrastruktur pelabuhan yang komprehensif untuk berkembang sebagai hab pengagregatan serantau bagi bahan mentah dan penambahan nilai hiliran.

Gan berkata WLP juga bercadang menggabungkan kekuatan organisasi perdagangan negara, peneraju logistik dan multinasional untuk membentuk jalinan lebih erat yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan perdagangan.

“Ia berharap dapat melonjakkan pembangunan rantaian bekalan dan merapatkan jurang antara hab pembuatan yang berkembang merentasi pasaran baharu muncul, khususnya di Asia Tenggara dan Afrika,” katanya.

Gan percaya reputasi global BIMP-EAGA sebagai ‘Lembangan Sumber Asli Global’ yang terdiri, antaranya seperti minyak sawit, petroleum, serta mineral akan menjadikannya subjek yang diminati dalam rangkaian WLP.

Beliau berkata WLP adalah sebahagian daripada strategi Dubai Silk Road yang menurut pemerintahnya, merupakan inisiatif yang mencerminkan visi UAE untuk membentuk masa depan yang lebih cerah kepada dunia melalui program inovatif yang memupuk kerjasama perdagangan global.

Bertemakan “Menghubungkan Minda dan Mencipta Masa Depan,” Ekspo Dubai 2020 dibuka di UAE pada 1 Oktober dan akan diteruskan sehingga 31 Mac tahun depan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.