
LAHAD DATU: Daerah ini kini mempunyai sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang teratur dan selesa bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat dan pelancong, dengan pembukaan Terminal Bas dan Teksi Pusat First Palm City Centre (FPCC), yang juga dikenali sebagai Lahad Datu Sentral.
Pembukaan terminal bas dan teksi baharu ini disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang diwakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu majlis yang diadakan di sini, Sabtu.
Terminal itu merupakan usahasama antara Titijaya Land Berhad selaku pemaju FPCC, dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah.
FPCC ialah projek pembangunan bercampur yang terdiri daripada kedai komersial, komponen runcit dan Pasar Raya Econsave yang terkenal di tanah seluas 58.8 ekar di pusat bandar.
Hajiji, dalam ucapannya yang dibacakan oleh Masidi, berharap terminal itu dapat digunakan sepenuhnya oleh pengusaha pengangkutan awam di daerah itu.
Beliau juga berharap ia dapat memberi keselesaan kepada semua pengguna perkhidmatan bas dan teksi termasuk pengunjung ke daerah ini.
“Kemudahan baharu yang menaik taraf sistem perkhidmatan pengangkutan awam dan memberi kesejahteraan masyarakat khususnya masyarakat setempat ini adalah selaras dengan salah satu teras utama rancangan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) Kerajaan Negeri pimpinan GRS iaitu jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau,” katanya.
Dalam hal ini, katanya, daerah Lahad Datu kini mempunyai jaringan infrastruktur terbaik dan ia demi kesejahteraan rakyat Lahad Datu.
“Kemudahan yang disediakan Kerajaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna bas dan teksi di daerah ini, termasuk pelancong, malah menjadikan sistem pengangkutan daerah lebih teratur.
"Lahad Datu merupakan daerah yang strategik bagi pelabuhan berprestij yang terletak di Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) serta terletak dalam wilayah Kawasan Pertumbuhan Timur Asean Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) membuka peluang kepada rakyat Lahad Datu untuk terus maju.
“Seperti yang kita tahu, Lahad Datu juga antara daerah yang mempunyai banyak tarikan pelancong seperti Hutan Simpan Tabin, Lembah Danum dan Gua Madai selain pantai dan air terjun yang indah. Maka sudah tentu terminal bas dan teksi ini akan memberi kemudahan kepada pelancong yang ke tempat-tempat tersebut.
“Ini akan membantu usaha Kerajaan Negeri untuk menggiatkan semula sektor pelancongan di negeri ini yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19,” kata Ketua Menteri.
Pegawai Daerah Lahad Datu Dr Mohd Ayub Yaacob mengucapkan terima kasih kepada pemaju First Palm City Centre kerana membina terminal itu yang sudah lama dinantikan oleh rakyat, termasuk pengusaha bas dan teksi di daerah ini.
Yakin ia adalah kemudahan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat, beliau berkata sebelum ini pengusaha bas dan teksi hanya meletakkan kenderaan di tepi jalan.
“Terminal ini boleh menjadikan Lahad Datu sebagai antara hentian utama di Pantai Timur Sabah,” katanya sambil menambah terminal itu dibina di atas tanah milik LPPB Sabah.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad, Lim Poh Yit berkata terminal bas dan teksi, yang merupakan salah satu komponen penting FPCC, adalah untuk perkhidmatan pengangkutan awam dalam daerah dan jarak jauh.
“Saya yakin terminal bas dan teksi ini akan dihargai dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk di sini kerana ia mengurangkan masa perjalanan di bandar dan ke destinasi lain di seluruh Sabah,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi LPPB Sabah, Datuk Masiung Banah dan Penasihat Kumpulan Titijaya Land Berhad Tan Sri Dato' Lim Soon Peng.


