
Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga dan mengasihi satu sama lain pasti akan ada perancangan tentang anak. Sama ada pasangan tersebut menginginkan anak atau tidak, itu adalah hak mereka dan tidak patut ada campur tangan dari pihak ketiga. Namun begitu, bagi pasangan yang menginginkan anak, anda patut tahu tentang salah satu isu atau kejadian yang boleh berlaku sewaktu mengandung iaitu kelahiran mati.
Kelahiran mati atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil “stillbirth” adalah suatu kondisi yang berbeza daripada kondisi keguguran janin atau “miscarriage”.
- Kondisi keguguran janin adalah kejadian dimana proses kehamilan di dalam rahim ibu berakhir dengan sendiri dalam tempoh 20 minggu awal kehamilan atau berat janin adalah kurang daripada 500 gram (sekiranya usia kandungan tidak diketahui).
- Kondisi kelahiran mati adalah kejadian dimana janin yang sudah terbentuk di dalam rahim ibu meninggal dunia apabila usianya sudah melebihi 20 minggu keatas.
Terdapat beberapa sebab bagaimana kelahiran mati (stillbirth) boleh berlaku. Walaubagaimanapun, punca utama atau sebab suatu kelahiran mati itu berlaku adalah berbeza-beza di antara satu kes dengan yang lain. Selalunya, hanya dengan pembedahan autopsi seorang pakar dapat mengenalpasti punca kelahiran mati tersebut. Namun dari pengalaman doktor-doktor pakar atau bidan, kelahiran mati ini banyak bergantung kepada situasi kesihatan ibu, bayi, plasenta atau tali pusat.
Terdapat beberapa faktor yang mungkin boleh menyebabkan kelahiran mati seperti:
- Masalah plasenta
Plasenta adalah bekalan hidup diantara bayi dan ibu. Tugas plasenta adalah untuk memproses makanan yang dimakan oleh ibu dan menukarnya sebagai nutrien untuk bayi di dalam rahim. Bayi juga boleh bernafas melaluinya. Apabila darah mengalir melalui rahim ibu, plasenta ini akan menyerap nutrien, molekul imun dan molekul oksigen di dalam sistem tubuh ibu untuk digunakan oleh bayi. Ini adalah salah satu sebab mengapa doktor pakar puan dan kanak-kanak akan sentiasa mengingatkan pentingnya menjaga kesihatan dan pemakanan yang baik dan seimbang. Ini juga sebab mengapa ibu yang mengandung tidak digalakkan menghisap rokok, meminum alkohol atau mengambil dadah kerana ia juga boleh diserap plasenta dan digunakan oleh bayi.
Beberapa masalah plasenta yang boleh berlaku semasa kehamilan adalah seperti:
- Plasenta accreta: Keadaan apabila saluran darah plasenta mencengkam dinding rahim terlalu kuat dan dalam sehingga meningkatkan risiko pendarahan sebelum atau sewaktu kelahiran.
- Plasenta previa: Keadaan dimana plasenta menutup keseluruhan atau sebahagian daripada serviks dan menaikkan risiko kelahiran.
- Plasenta pecah: Keadaan apabila plasenta tercabut terlalu awal daripada dinding rahim sebelum waktu kelahiran dan mengakibatkan putusnya bekalan oksigen dan sumber nutrien kepada bayi. Keadaan ini boleh menyebabkan pendarahan teruk keatas ibu atau kelahiran mati.
- Jangkitan
Jangkitan pada ibu adalah merbahaya dan boleh memberi kesan buruk ke atas kandungan. Oleh itu, adalah amat penting seorang ibu sentiasa mengawasi diri sendiri supaya dapat mengetahui lebih awal jika ibu berkemungkinan terkena jangkitan seperti TORCH iaitu Toksoplasmosis, Other diseases (penyakit-penyakit medullar yang lain), Rubella (Rubela atau “demam campak Jerman”), Cytomegalovirus (CMV), dan Herpes.
Ibu yang terkena mana-mana jangkitan ini dan tidak diubati seawalnya berkemungkinan besar boleh menyebabkan bayi mempunyai masalah gangguan otak dan sistem saraf, tumbesaran terbantut, kelainan kongenital, dan kelahiran mati.
- Air ketuban
Air ketuban adalah salah satu punca lain yang boleh menyebabkan kelahiran mati. Kandungan air ketuban adalah penting bagi mengetahui tahap kesihatan bayi di dalam kandungan.
Sesetengah ibu mengandung boleh mengalami kondisi dimana air ketuban mereka kurang dari biasa. Kondisi ini dinamakan Oligohydramnios dan ia berpotensi menyebabkan janin keguguran, cacat atau kelahiran mati. Sesetengah ibu mengandung juga mengalami kondisi dimana air ketuban mereka terlalu banyak dan melebihi kapasiti yang normal — selalunya berlaku apabila ibu mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis (diabetes) sewaktu mengandung. Kondisi air ketuban terlalu banyak ini dinamakan Polyhydroamnios, berisiko menyebabkan kelahiran pramatang, pertumbuhan janin yang lebih dari biasa, gangguan plasenta, pendarahan sebelum bersalin dan kematian di dalam rahim (kelahiran mati).
Sangat penting untuk ibu melakukan pemeriksaan doktor pada waktu yang ditetapkan (temujanji) dan pelajari cara-cara mengatasi masalah air ketuban kurang atau air ketuban lebih bagi mengelakkan keadaan tidak diingini berlaku keatas janin sebelum tiba waktu kelahiran.
- Kesihatan ibu
Kesihatan ibu dari segi fizikal dan mental secara keseluruhannya memainkan peranan penting ke atas tumbesaran janin yang normal. Namun, kadang kala ibu yang tahap kesihatannya normal sebelum mengandung mungkin akan mengalami penyakit seperti kencing manis atau darah tinggi sewaktu mengandung. Walaupun penyakit begini sering berlaku ke atas ibu mengandung, selalunya tiada masalah akan berlaku ke atas janin sekiranya masalah kesihatan itu terkawal. Namun, sekiranya kesihatan ibu menjadi teruk dengan cepat seperti darah tinggi yang naik mendadak, besar kemungkinan ia akan memberi kesan buruk keatas janin, termasuk kematian di dalam rahim.
- Kemalangan
Keadaan ibu mengandung terutamanya sewaktu minggu-minggu terakhir sebelum kelahiran adalah amat kritikal. Penting bagi ibu mengandung untuk tidak melakukan kerja-kerja berat yang boleh menyebabkan terjatuh, terhentak dan lain-lain. Sekiranya ibu terjatuh dan hentakan kuat berlaku di dalam rahim, risiko berlaku pendarahan di dalam rahim atau pecah air ketuban sebelum waktunya boleh mengakibatkan situasi kelahiran mati.

***
Kelahiran mati ini semestinya suatu perkara yang tidak diingini mana-mana bakal ibu atau bapa tetapi walaupun risikonya kecil, ia tetap wujud. Di Malaysia, dalam 10,000 kelahiran, purata kelahiran mati adalah dalam 54.
Selalunya, kes kelahiran mati ada menunjukkan tanda-tanda kepada ibu seperti pergerakan bayi di dalam kandungan. Ibu perlu peka dan kerap meninga pergerakan bayi di dalam rahim, lebih-lebih lagi jika sudah masuk ke minggu-minggu terakhir kehamilan. Walaupun di hujung kehamilan pergerakan bayi lebih terbatas kerana saiznya yang lebih besar, pergerakan normal mereka setiap hari tetap sama iaitu lebih daripada 10 pergerakan dalam masa 12 jam. Pelajari cara untuk merasa dan mengira pergerakan bayi dengan betul sewaktu temujanji dengan pakar puan dan kanak-kanak. Sekiranya ibu merasakan pergerakan bayi kurang atau tidak aktif, cepat-cepat ke klinik pakar bagi melakukan pemeriksaan dan mengambil langkah-langkah awal untuk menyelamatkan bayi anda.
Janin yang sudah membesar lebih daripada 20 minggu di dalam rahim ibu akan membawa perubahan-perubahan besar kepada hormon, tubuh badan dan emosi ibu. Sekiranya janin tersebut meninggal sebelum kelahiran atau sewaktu kelahiran dan mengakibatkan situasi kelahiran mati, tubuh dan emosi ibu tetap akan melalui proses seperti kelahiran biasa. Maka, amat penting untuk ibu mempunyai sistem sokongan yang kuat daripada suami, ahli keluarga dan orang terdekat di sekelilingnya.
Selain daripada itu, ibu yang mengalami situasi kelahiran mati juga berhak mendapatkan cuti pantang dan bergaji penuh sekiranya ibu bekerja (mengikut surat perjanjian kerja atau work agreement) sama ada dalam kerajaan atau swasta. Ibu dinasihatkan menggunakan waktu tersebut sebaiknya untuk menenangkan dan menjaga kesihatan fizikal dan mental. Ini juga untuk mengelakkan masalah meroyan yang mungkin berlaku jikalau ibu terlalu sedih atau tertekan dengan situasi kelahiran mati tersebut.
Semoga kita semua diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi hal-hal rumahtangga dan kekeluargaan.
Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.


