
Kota Kinabalu: Seorang warga Vietnam berumur 39 tahun didenda sejumlah RM310,000 kerana gagal memaklumkan pegawai diberi kuasa semasa berada di perairan Malaysia dan juga memasuki perairan negara ini secara haram.
Hakim Mahkamah Sesyen Egusra Ali menjatuhkan hukuman itu kepada Nguyen Huu Tri yang mengaku bersalah kepada tuduhan terhadapnya.
Dia didenda RM300,000 atau penjara tiga bulan kerana gagal memaklumkan pegawai berkaitan melalui radio, teleks atau faks dalam bahasa Inggeris atau Melayu mengenai nama mereka, bendera negara, lokasi, destinasi kapal serta jenis dan jumlah ikan yang mereka angkut semasa berada di perairan Malaysia.
Nguyen melakukan kesalahan itu pada pukul 4.40 pagi 11 April tahun ini di dalam sebuah kapal asing dengan pendaftaran TG 72972 di Pulau Labuan.
Kesalahan di bawah Seksyen 16(3) Akta Perikanan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) Akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM6 juta bagi juragan, dan RM600,000 bagi setiap anak kapal, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, peguam Rakhbir Singh yang mewakili Nguyen, meminta hukuman ringan dengan mengatakan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh dan anak guamnya telah pun ditahan selama lapan bulan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurun Nazifah Muhammad Iyen dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia meminta hukuman setimpal. Nguyen yang juga juragan kapal itu, turut diperintah membayar denda RM10,000 lagi atau penjara tiga bulan kerana memasuki perairan Malaysia tanpa sebarang dokumen.
Sementara itu, empat anak kapal iaitu Danh Minh, Le Cuc Xiep, Le Thank Phuong dan Vo Hoang Nam, masing-masing didenda RM10,000 atau penjara tiga bulan kerana memasuki perairan Malaysia tanpa sebarang permit.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
