
SANDAKAN: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menerusi radar pengawasan pantai telah berjaya mengesan sebuah bot nelayan Filipina karam yang berada di luar sempadan perairan Malaysia pada jam 9.50 pagi Jumaat.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 telah bertindak menyalurkan maklumat berkenaan kepada Pegawai Staf 2 Udara Malaysia Maritime Command Centre (MCC) untuk tindakan dan pengesahan maklumat.
Malaysia MCC telah bertindak menyalurkan maklumat berkenaan kepada Philippine Maritime Command Centre (MCC) untuk menyelaras operasi menyelamat luar sempadan perairan Malaysia.
"Kemudian, pada jam 10.50 pagi, sebuah operasi menyelamat telah dilaksanakan oleh Pasukan Marin Filipina dari Pulau Taganak. Hasil maklumat yang diperolehi dari Filipina MCC di Tawi-Tawi, operasi menyelamat kesemua awak-awak bot karam oleh Pasukan Marin Filipina telah berjaya dilaksanakan. Bot yang didaftarkan sebagai ML RIHANA tersebut telah karam di kedudukan 2.3 batu nautika dari Timur Laut CSS Pulau Bakungan Kecil.
"Seramai 10 orang awak-awak bersama seorang Tekong warganegara Filipina telah berjaya diselamatkan oleh Marin Filipina. Kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan parah.
"Kejadian dipercayai berlaku disebabkan kebocoran di bahagian badan bot kerana pukulan ombak yang kuat. KD PAUS telah dihubungi oleh POWB ATB 2 untuk diaturgerakkan ke sekitar lokasi bot nelayan Filipina karam bagi tujuan pemantauan dan keselamatan. Maklumat kejadian turut disalurkan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) untuk tindakan selanjutnya," jelasnya.
Abdul Karim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada anggota bertugas di POWB ATB 2 dan radar CSS Pulau Bakungan Kecil atas kejayaan pengesanan bot karam tersebut.
Sekaligus membuktikan sistem radar milik MK ATB 2 memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan operasi dan keselamatan sempadan Perairan Pantai Timur Sabah berada ditahap tertinggi.
"Kejayaan ini sekaligus membuktikan bahawa peranan radar turut menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah operasi.
"Anggota tentera yang beroperasi turut diingatkan sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi yang optimum bagi menghadapi sebarang cabaran dan rintangan," katanya dalam kenyataan kepada media.
Beliau turut mengingatkan anggota beroperasi untuk sentiasa menjaga keselamatan diri terutama ketika negara berada di fasa Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 3 Nov dan dijangka akan berterusan sehingga Mac 2022.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
