Bersatu akan tanding Parlimen Tuaran

Politics
22 Dec 2021 • 10:25 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tuaran berhasrat untuk bertanding kerusi Parlimen P.170 Tuaran pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, berdasarkan kepada kekuatan akar umbi di bahagian itu, Bersatu berada di landasan tepat untuk bertanding kerusi Parlimen Tuaran.

“Melihat kepada pengaruh, sokongan dan kekuatan Bersatu di Tuaran, sudah tiba masanya parti ini meletak calon bertanding pada PRU akan datang.

“Namun Bersatu akan mengadakan perundingan dengan rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mencapai kata putus untuk mengelakkan pertembungan di antara satu sama lain di Parlimen Tuaran”, katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Jelasnya, kekuatan dan sokongan rakyat terhadap Ketua Badan Pimpinan parti, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah turut memberikan kelebihan positif untuk parlimen Tuaran dimenangi oleh Bersatu.

“Kalau melihat kepada sokongan akar umbi dan ahli Bersatu di Bahagian Tuaran ini, kita berada di landasan tepat untuk menuntut kerusi Parlimen P. 170 Tuaran pada PRU ke-15 (PRU-15) nanti.

“Ini juga merupakan permintaan dan kemahuan ahli-ahli kita di peringkat akar umbi”.

“Namun Bersatu Tuaran menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, selaku Ketua Pimpinan Bersatu Sabah dan juga Ketua Bahagian Bersatu Tuaran berhubung perkara ini,” tambahnya.

Abdul Kassim berkata, Bersatu Tuaran juga terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan di dalam GRS mengenai perkara tersebut.

“Setakat ini, kita juga terbuka menuntut kerusi Parlimen Tuaran untuk ditandingi oleh Bersatu,” katanya

Untuk rekod, Parlimen Tuaran kini disandang oleh Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan undi 22,494, mengalahkan pesaingnya pada PRU-14. 

Tumbangnya BN pada PRU-14 menyaksikan Madius selaku Presiden Upko bertindak mengetuai Upko untuk keluar sebagai rakan komponen parti BN dan seterusnya mengalihkan sokongan kepada Warisan-PH. 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.