Dengan pelancaran siri cip pemprosesan Intel Alder Lake mereka, ia turut dilihat menyokong teknologi penghantaran data PCIe 5.0 yang dikatakan beberapa kali lebih pantas berbanding dengan PCIe 4.0. Papan induk Intel Z690 semuanya dilihat hadir dengan sokongan untuk teknologi ini, dan pembina SSD juga dilihat baru mula membangunkan SSD dengan teknologi tersebut.
Terkini, Ryan Shrout, Ketua Strategi Prestasi di Intel telah memperlihatkan kelajuan SSD yang menggunakan teknologi tersebut, dengan sebuah PC yang dikuasakan dengan CPU Intel Core i9-12900K, papan induk Z690 keluaran ASUS dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 oleh EVGA.
Perks of the job! Was going to save this demo for #CES2022 but with that off the table, why not just share it with everyone right now?! Here’s a 12th Gen @intel Core i9-12900K system paired with a new @Samsung PM1743 PCIe 5.0 SSD getting over 13GB/s!! pic.twitter.com/oyL08KzDtV
Lebih penting lagi, storan PCIe 5.0 yang digunakan untuk ujian ini ialah SSD Samsung PM1743 yang baru sahaja diperkenalkan beberapa hari yang lalu. Ryan Shrout memperlihatkan bahawa SSD tersebut hadir dengan kadar pembacaan data 13.7GB/s dengan kadar penulisan data 6GB/s.
Lebih menarik lagi, unit kedua SSD ini boleh digabungkan untuk menjadi satu unit storan, dan ia memperlihatkan kadar pembacaan data sepantas 28GB/s, tetapi oleh kerana jaluran PCIe 5.0 tidak mencukupi, kad grafik RTX 3080 tersebut terpaksa dicabut untuk SSD ini memanfaatkan kesemua jaluran tersebut.
SSD PCIe 5.0 dijangka akan hadir secara lebih meluas bermula tahun hadapan, dimana AMD juga akan memperlihatkan sokongan PCIe 5.0 juga pada siri cip pemprosesan generasi akan datang mereka.

