
Kota Kinabalu: Seorang penganggur lelaki berumur 27 tahun akan tahu pada 24 Januari tahun depan sama ada dia perlu menjawab tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menetapkan tarikh itu bagi Mohamad Rafizan Rushlan selepas pendakwaan menutup kesnya pada Khamis.
Mohamad Rafizan dituduh melakukan kesalahan itu dengan menggigit belakang kanak-kanak itu dan meraba kemaluannya pada pukul 2.55 petang 6 Disember 2019 berhampiran ruang tangga di Taman Tun Said di Kota Belud.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada Khamis sepatutnya perbicaraan disambung tetapi saksi awam tidak dapat dikesan dan pendakwaan mengambil keputusan untuk menutup kesnya.
Pendakwaan telah memanggil lima saksi dalam perbicaraan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman menjalankan pendakwaan sementara Mohamad tidak diwakili.

