
SHAH ALAM, 2 DIS: Selangor merupakan negeri ketiga melaksanakan projek sistem pentadbiran tanah secara eletronik (e-Tanah) selepas Kuala Lumpur dan Perak.
Dato’ Menteri Besar berkata implikasi kewangan bagi keseluruhan projek itu sebanyak RM382.4 juta iaitu caj perkhidmatan dibayar kerajaan persekutuan kepada syarikat Puncak Tegap Sdn Bhd.
Manakala kos yang akan ditanggung oleh syarikat konsesi terbabit pula adalah sejumlah RM171.39 juta, kata Dato’ Seri Amirudin Shari .
“Kerajaan Selangor bersetuju dan memberi kebenaran untuk sistem e-Tanah dilaksanakan dalam pentadbiran tanah di negeri ini.
“Malah, kita turut merasakan sudah tiba masanya inisiatif “e-Tanah Solution” ini diperluaskan di Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta semua Pejabat Daerah dan Tanah Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanahbagi Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Selangor di Hotel Mardhiyyah di sini hari ini
Pada masa sama, Amirudin berharap sistem yang dijangka siap pada Mac 2023 itu dapat diguna sebaik mungkin dan mencapai matlamat.
“Saya berharap sistem e-Tanah ini dapat meningkatkan kecekapan pengurusan tanah ‘end to end solution’ kepada pengguna terutama rakyat Selangor,” katanya.
Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata proses pembangunan sistem e-Tanah akan bermula di pentadbiran tanah negeri dan dijangka selesai dibangun dan diguna pakai pada 2023.
Sistem e-Tanah dilaksana bagi memastikan penyeragaman pelaksanaan pentadbiran tanah di negeri mengikut perundangan dan bertujuan meningkatkan ketelusan serta mencegah ketirisan di setiap peringkat pentadbiran tanah dalam sesebuah negeri.
The post Selangor negeri ketiga laksana projek sistem e-Tanah appeared first on Selangorkini.
